NAZRI (dua dari kiri) pada majlis pelancaran kad kredit  RHB Rewards Motion Code, semalam. FOTO Hafiz Sohaimi
NAZRI (dua dari kiri) pada majlis pelancaran kad kredit RHB Rewards Motion Code, semalam. FOTO Hafiz Sohaimi
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: RHB Banking Group (RHB) menyasarkan peningkatan 15 peratus pertumbuhan kad kreditnya setiap tahun mewakili 21,000 pemegang kad baharu.

Pemangku Ketua Perbankan Runcit Kumpulannya, Nazri Othman berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai disokong dengan pengenalan kad kredit RHB Rewards Motion Code yang pertama di Asia Tenggara.

Katanya, setakat ini ada sekitar 500,000 pemegang kad kredit RHB di seluruh negara.

“RHB komited untuk mencegah kes penipuan kad di Malaysia dan kad kredit RHB Rewards Motion Code ini adalah kad pembayaran berteknologi tinggi dengan nilai pengesahan kad (CVV) dinamik yang kerap dikemaskinikan secara automatik.

“Teknologi canggih ini adalah ciri terkini yang dimiliki kad kredit RHB Rewards Motion Code.

“Kami akan terus berusaha memperkenalkan pelbagai inovasi selari aspirasi RHB menjadi bank digital menjelang 2022,” katanya selepas pelancaran kad kredit RHB Rewards Motion Code di sini, semalam.

Menurutnya, kad kredit terbaharu itu mendapat kerjasama Visa dan IDEMIA dalam memberi manfaat ciri keselamatan terbaik kepada pelanggan RHB.

Nazri berkata, kad yang diperkenalkan dengan kerjasama penyedia penyelesaian identiti berperantara, IDEMIA bergantung kepada algoritma kompleks untuk menjana kod baharu secara automatik tanpa memerlukan sebarang proses gangguan seperti pemasangan plug-in atau memasukkan data tambahan.

Beliau berkata, teknologi diguna pakai itu dapat menghalang berlaku penipuan kad kredit dan penceroboh daripada mengakses data penting selain mengganggu transaksi.

Selain itu, katanya, pemegang kad berpeluang menikmati ganjaran tanpa had bagi panggung wayang, perbelanjaan di luar negara, pembelian dalam talian, keistimewaan golf eksklusif serta perbelanjaan kesihatan dan insurans.

Pelanggan kad kredit RHB Rewards Motion Code turut menerima pengecualian yuran tahunan bagi tahun pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:42 AM