PENGARAH Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, U Chen Hock (kiri) bersama  pemegang kad bertuah, Lee (dua dari kiri) pada majlis penyampain hadiah.
PENGARAH Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, U Chen Hock (kiri) bersama pemegang kad bertuah, Lee (dua dari kiri) pada majlis penyampain hadiah.

Kuala Lumpur: RHB Banking Group (RHB) menjangkakan pertumbuhan perbelanjaan kad keluarannya mampu mencapai kadar 10 peratus melalui pelbagai aktiviti promosi bagi tahun ini berbanding enam peratus pada tahun lalu.

Naib Presiden Pemangku Ketua Kad dan Perniagaan Tidak Bercagar Kumpulannya, Lenon P S Cheong berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran itu berdasarkan pertumbuhan perbelanjaan industri kad tahun lalu yang berkembang pada tahap mendatar iaitu enam peratus.

“Kami jangka pertumbuhan segmen kad RHB mampu mencatat pertumbuhan melebihi jumlah terbabit meskipun dalam keadaan ekonomi tidak stabil dan mencabar pada tahun ini,” katanya pada majlis penyampaian hadiah utama bagi peraduan ‘Swipe Your RHB Debit Visa Card to Win’, di sini, semalam.

Majlis itu menyaksikan pemegang kad RHB bertuah, Lee Chee Kian, 44, dari Klang menerima hadiah utama berupa kereta Toyota Vios 1.5G manakala 12 pemenang lain memenangi hadiah tunai RM1,000 sepanjang 12 minggu peraduan terbabit yang bermula dari 17 September hingga 9 Disember tahun lalu.

Peraduan terbabit menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan runcit pelanggannya bernilai RM33 juta tahun lalu semasa tempoh penganjurannya dan mencapai pertumbuhan sehingga 24 peratus, sekali gus melebihi sasaran pertumbuhan 20 peratus.

RHB turut merancang beberapa kempen lagi membabitkan penggunaan kad debit dan debit dalam tempoh 12 bulan akan datang antaranya pemegang kad kredit dan prabayar Sogo-RHB akan berpeluang mengumpul 10x S-Points apabila mereka membeli belah di Sogo Kuala Lumpur pada setiap hari bermula bulan ini hingga Mei depan.

Sehingga kini, RHB memiliki lebih daripada 2.5 juta pemegang kad debit dan kredit di mana ia mencatatkan pertumbuhan jumlah keseluruhan perbelanjaan kad debit berjumlah 10 peratus dan turut menjadi salah satu daripada tiga teratas daripada aspek perbelanjaan kad debit Visa di negara ini dengan penguasaan 13 peratus dalam pasaran pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 7:32 AM