NAZRI (kiri) menyerahkan hadiah utama kempen Drive Home A BMW Series kepada Tan (kanan) dan isterinya.
NAZRI (kiri) menyerahkan hadiah utama kempen Drive Home A BMW Series kepada Tan (kanan) dan isterinya.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: RHB Bank Berhad, menyasarkan peningkatan pemegang Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) kepada tiga juta pelanggan baru dan sedia ada menjelang akhir tahun ini.

Pemangku Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank Nazri Othman berkata, setakat ini pihaknya mempunyai lebih kurang 2.8 juta pelanggan CASA.

Katanya, RHB Bank komited untuk meningkatkan jumlah itu dengan promosi dan kempen yang dijalankan sepanjang tahun bagi menarik lebih ramai pelanggan mendaftar.

“Setiap bulan, kami menerima lebih kurang 40,000 pendaftaran bagi CASA dan berharap jumlah itu terus meningkat,” katanya pada media selepas majlis penyampaian hadiah kempen Drive Home A BMW Series RHB Bank, di sini, semalam.

Hadiah utama kempen Drive Home A BMW Series iaitu kereta BMW 730Li dimenangi oleh Tan Huat Soon dari Johor. Kempen terbabit berlangsung selama empat bulan bermula 15 Jun hingga 14 Oktober 2016 dan terbuka kepada pelanggan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) konvensional RHB Bank.

Pelanggan yang mendeposit tunai minimum RM50,000 ke dalam CASA RHB Bank berpeluang memenangi pekakas rumah jenama Philips. Bagi setiap deposit RM100,000 pula, pelanggan RHB Bank layak menyertai peraduan dan berpeluang memenangi hadiah utama atau bulanan.

Menurutnya, kempen itu bertujuan menggalakkan pelanggan untuk menambah simpanan dan mendapat ganjaran hasil daripada pengurusan kewangan berhemah.

Nazri berkata, pihaknya akan menganjurkan kempen yang sama pada Julai ini bagi menarik lebih ramai pendeposit.

“Kami akan menawarkan hadiah utama yang lebih bernilai kali ini dan bagi setiap pelanggan yang mendeposit ke dalam CASA berpeluang untuk membawa pulang hadiah yang disediakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 12:41 AM