KONG (kiri) bersama Rohan (tengah) dan Abdul Sani menunjukkan aplikasi RHB Insurance yang dilancarkan, semalam.
KONG (kiri) bersama Rohan (tengah) dan Abdul Sani menunjukkan aplikasi RHB Insurance yang dilancarkan, semalam.
Nora Mahpar

Kuala Lumpur: RHB Insurance Bhd menyasarkan premium terkumpul RM5 juta membabitkan 10,000 pemegang polisi dalam tempoh 12 bulan akan datang menerusi inisiatif digital yang dilancarkan.

Ia disokong pelancaran aplikasi mudah alihnya RHB Insurance yang membolehkan pelanggan membeli polisi insurans dan cukai jalan hanya di hujung jari.

Pengarah Urusannya Kong Shu Yin berkata, aplikasi berkenaan membolehkan pengguna membeli polisi insurans dalam tempoh tiga minit, proses paling cepat yang pernah dicatatkan dalam industri kewangan.

Kong berkata, pihaknya turut menjangkakan pertumbuhan sehingga 10 peratus dalam premium bertulis kasar menerusi saluran digital dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

“Kami yakin aplikasi RHB Insurance akan menjadi pemacu dalam usaha transformasi pembelian insurans dan memperbaharui cukai jalan dengan langkah mudah.

“Ia selari dengan program transformasi digital kami yang menawarkan interaksi ditambah nilai. Kami membina aplikasi mudah alih menerusi ekosistem digital yang membolehkan pelanggan, ejen dan rakan kongsi kami berhubung satu sama lain secara langsung,” katanya ketika merasmikan Aplikasi Mudah Alih RHB Insurance di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan RHB Bank Group Rohan Krishnalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan RHB Bank Group Abdul Sani Abdul Murad.

Menurutnya, aplikasi itu dibangunkan sepenuhnya pakar teknologi dalaman membabitkan kos kurang RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 10:49 AM