Tan Sri Robert Kuok kekal individu terkaya Malaysia dalam senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019. FOTO NSTP.
Tan Sri Robert Kuok kekal individu terkaya Malaysia dalam senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019. FOTO NSTP.
BERNAMA

TAN Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukan nombor satu dalam senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019 dengan nilai bersih AS$12.8 bilion (RM52.3 bilion) walaupun kekayaannya merosot sebanyak AS$2 bilion (RM8.18 bilion), menurut Forbes Asia.

Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini di Singapura menyebut 30 hartawan Malaysia menyaksikan kekayaan mereka merosot manakala, 11 lagi menikmati peningkatan.

Sementara itu, Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong (Malaysia) menambah kekayaan sebanyak AS$2.2 bilion (RM9 bilion) dan kekal pada kedudukan nombor dua dengan nilai bersih AS$9.4 bilion (RM38.4 bilion).

Tan Sri Teh Hong Piow Public Bank memperoleh AS$700 juta (RM2.86 bilion), meningkat satu anak tangga ke nombor tiga dengan nilai bersih AS$6.7 bilion (RM27.4 bilion).

Lima hartawan teratas dalam senarai itu ialah Tan Sri Ananda Krishnan di tempat keempat dengan AS$6.2 bilion (RM25.4 bilion), susut AS$900 juta (RM3.7 bilion) apabila saham dalam penyedia perkhidmatan tenaga Bumi Armada susut 78 peratus tahun ini hingga 1 Mac.

Jutawan lain yang menyaksikan kekayaan mereka merosot termasuklah Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary yang mengekalkan kedudukannya di tempat ke-12 walaupun kekayaan merosot AS$200 juta (RM818 juta) kepada AS$1.7 bilion (RM6.95 bilion).

Saham syarikat berkaitan infrastrukturnya menyusut susulan kajian berterusan ke atas projek-projek infrastruktur mega Malaysia.

Seorang lagi hartawan yang mengalami kemerosotan ialah Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, yang berada di nombor tujuh dengan kekayaan bernilai AS$4.4 bilion (RM18 bilion).

Pendatang baharu Abdul Kadier Sahib memasuki senarai itu buat kali pertama di tempat ke-49 dengan nilai bersih AS$275 juta (RM1.12 bilion).

Beliau ialah Pengarah Serba Dinamik Holdings, syarikat pembekal minyak dan gas yang dilancarkan pada 2017 dan menyaksikan sahamnya melambung.

Pengasasnya, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, yang berada di tempat ke-40, dengan nilai AS$345 juta (RM1.41 bilion), memulakan perniagaannya setahun lalu dan menyaksikan kenaikan bersihnya sebanyak 11 peratus tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 2:14 PM