FOTO Hiasan RINGGIT rendah dan susut hampir 10 peratus dalam indeks saham.
FOTO Hiasan RINGGIT rendah dan susut hampir 10 peratus dalam indeks saham.
HM Bisnes

KEADAAN ekonomi yang sedikit perlahan selain kebimbangan terhadap wabak Covid-19 secara tidak langsung memberi kesan kepada pendapatan individu terkaya Malaysia.

Berdasarkan Senarai Individu Paling Kaya Forbes Malaysia 2020 yang dikeluarkan Forbes Asia semalam, kekayaan 50 hartawan Malaysia merosot untuk tahun kedua berturut-turut berikutan ringgit yang rendah dan susut hampir 10 peratus dalam indeks saham penanda aras negara.

Nilai bersih terkumpul mereka berjumlah AS$79 bilion (RM329 bilion) merosot 7.0 peratus berbanding tahun lalu.

Tan Sri Robert Kuok kekal berada di tangga teratas selama lebih dua dekad dengan nilai bersih kekayaannya AS$11.5 bilion (RM47.9 bilion).

Namun, jumlah berkenaan merosot lebih AS$1 bilion tahun lalu.

Mengekalkan kedudukannya dalam senarai nombor dua ialah Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong, yang menambah AS$300 juta dalam kekayaannya kepada AS$9.7 bilion (RM40.4 bilion).

Tan Sri Ananda Krishnan dari Maxis menduduki tempat ketiga dengan nilai bersih AS$5.9 bilion (RM24.6 bilion), susut AS$300 juta berbanding tahun sebelumnya.

Paling terjejas ialah jutawan perbankan Tan Sri Dr Teh Hong Piow dengan nilai AS$4.85 bilion (RM20.2 bilion).

Pengasas Public Bank berkenaan menyaksikan kekayaannya menerima kesan daripada cabaran dalam industri perbankan Malaysia, merosot dua anak tangga daripada kedudukan ketiga tahun lalu.

Teh menyaksikan sebanyak AS$1.85 bilion (RM7.7 bilion) berkurangan daripada kekayaannya sejak senarai sebelum ini berikutan saham dalam Public Bank, bank kedua terbesar negara itu dari segi nilai pasaran, merosot kira-kira 30 peratus.

Di samping itu, menurut Forbes Asia, Tan Sri Tony Fernandes dari AirAsia (nombor 41) dan Datuk Kamarudin Meranun (nombor 43) menyaksikan lebih satu pertiga daripada kekayaan mereka masing-masing merosot kepada AS$335 juta (RM1.4 bilion) dan AS$315 juta (RM1.31 bilion).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:20 AM