MUN Leong bersama Pengarah Eksekutif Hartalega, Kuan Kam Hon ketika pelancaran sarung tangan antimikrob pertama dunia.
MUN Leong bersama Pengarah Eksekutif Hartalega, Kuan Kam Hon ketika pelancaran sarung tangan antimikrob pertama dunia.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega), pengeluar sarung tangan nitril terbesar di dunia, terus yakin dengan prospek jangka panjang bagi pertumbuhan kumpulan.

Pengarah Urusannya, Kuan Mun Leong berkata, kumpulan optimis dapat mengekalkan momentum dan melihat pengukuhan bahagian pasaran seiring peningkatan penerimaan pasaran.

Beliau berkata, berikutan pelancaran inovasi terbaharunya, sarung tangan antimikrob pertama dunia menerima pesanan daripada pelanggan dari 10 negara setakat ini.

“Kami komited dengan operasi perniagaan dan terus yakin bagi menikmati unjuran tempoh masa panjang yang lebih baik bagi kumpulan.

“Malah, pelan perkembangan kumpulan turut mengambil kira usaha mengekalkan keseimbangan antara bekalan dan permintaan dalam pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Hartalega mempunyai kapasiti pengeluaran semasa yang boleh menghasilkan lebih 30 bilion sarung tangan setahun.

Kuan berkata, empat kilang pertama dalam Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang sudah beroperasi sepenuhnya.

Katanya, pihaknya turut mentauliahkan enam daripada 12 barisan pengeluaran bagi Kilang 5 dengan barisan lain dijangka beroperasi secara berperingkat.

“Pembinaan Kilang 6 pula adalah mengikut jadual dan pembinaan Kilang 7 dijangka bermula pada Mei 2019.

“Kecekapan Kumpulan akan terus ditambah baik sambil berusaha membina kilang baharu, yang kami percaya akan mengukuhkan lagi kedudukan dalam persekitaran yang kompetitif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 10:54 AM