GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hartalega Holdings Bhd mengesahkan 35 pekerjanya positif Covid-19 membabitkan 20 kakitangan di kilang Bestari Jaya, Selangor dan 15 pekerja di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang.

Dalam satu kenyataan tadi, pihak syarikat menjelaskan pekerja yang terjejas sedang menerima rawatan perubatan di kemudahan kesihatan kerajaan, manakala semua kontak rapat dalam tempoh 14 hari terakhir sudah dikenal pasti dan dikuarantin serta akan menjalani ujian selanjutnya sebelum dibenarkan kembali bekerja.

"Sehubungan dengan itu, beberapa talian pengeluaran dihentikan sementara, dengan kerugian kapasiti dianggarkan kurang 0.5 peratus daripada pengeluaran tahunan," katanya.

Selain itu, menurut Hartalega pembasmian kuman secara menyeluruh dilakukan di kawasan individu terbabit berada oleh penyedia profesional.

Kumpulan itu berkata, ujian Covid-19 dilakukan terhadap seramai 8,772 kakitangan termasuk vendor luar seperti kakitangan keselamatan dan operator kantin pada 7 Disember dan selesai pada 10 Disember selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara supaya semua pekerja asing menjalani ujian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 4:26 PM