SHALAN (belakang, tengah) bersama Kuan (belakang, empat dari kanan) dan Mohd Hamdi (belakang, tiga dari kanan) bersama belia dari Kelab Alami Kawa.
SHALAN (belakang, tengah) bersama Kuan (belakang, empat dari kanan) dan Mohd Hamdi (belakang, tiga dari kanan) bersama belia dari Kelab Alami Kawa.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Tanggungjawab pemuliharaan alam sekitar bukan terletak di bahu kerajaan saja, tetapi ia komitmen bersama masyarakat terutama golongan muda demi generasi masa depan.

Usaha menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar dan mendidik golongan muda di negara ini supaya lebih prihatin turut digalas oleh Hartalega Holdings Berhad, pengeluar terbesar sarung tangan nitril yang komited memberi sumbangan kepada komuniti di setiap kawasan operasinya termasuk di negara ini.

Dalam usaha membantu pembangunan golongan belia di Malaysia, Hartalega mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) dan organisasi bukan kerajaan, Anak Alami Enterprise (AAE) menjalankan program pemerkasaan golongan muda.

Program itu bertujuan memperkasa belia dalam komuniti melalui pendidikan alam sekitar dan pembangunan kapasiti untuk usaha pemuliharaan.

Pada acara memeterai perjanjian baru-baru ini, Hartalega berikrar untuk menyokong dan bekerjasama dengan kelab alam sekitar di bawah AAE dan Kelab Alami Kawa Kuala Selangor.

Perjanjian disempurnakan antara Pengarah Sumber Manusia Hartalega Holdings Berhad, Kuan Vin Seung; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UM, Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dan Pengasas Bersama Kelab Alami Kawa dan AAE, Shalan Jum’at.

Kelab berkenaan dilatih untuk menjalankan pemerhatian secara saintifik terhadap habitat semula jadi seperti sungai, hutan dan paya bakau.

Mereka juga dilatih memantau kualiti air di Sungai Selangor dan berkongsi data dengan agensi kerajaan.

Program yang dijalankan melatih mereka menjadi pemandu ekopelancongan pada masa depan yang mampu memberikan pendapatan selain meningkatkan usaha menyemai kesedaran serta pemuliharaan alam.

Menurut Kuan, pihaknya komited menyokong pembangunan komuniti luar bandar dan membantu mereka memiliki masa depan yang cerah.

Katanya, membangunkan generasi muda di Malaysia amat penting memandangkan mereka asas kepada pembangunan negara.

“Program ini menerapkan pembangunan kemahiran yang memberi manfaat kepada golongan muda dan mewujudkan rasa penghargaan terhadap alam sekitar selain memupuk sikap positif terhadap pemuliharaan alam sekitar yang mampan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 1:39 PM