HelloGold syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan yang menawarkan produk simpanan berasaskan emas.
HelloGold syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan yang menawarkan produk simpanan berasaskan emas.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: HelloGold, syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan merancang untuk meneroka pasaran Indonesia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Timur Tengah dan Afrika dalam tempoh terdekat.

Sehingga kini, ia mempunyai lebih 33,000 pelanggan di Malaysia serta sudah bertapak di pasaran baru seperti Thailand dengan melancarkan produk simpanan emas terbarunya.

Ketua Produk HelloGold, Ita Jalaluddin berkata, awal tahun ini, HelloGold turut melancarkan GOLDX, token Ethereum ERC20 patuh syariah sepenuhnya mewakili pemilikan pelaburan penuh gred emas pada teknologi blockchain.

“Kita juga sedang meneliti aset selain emas dalam mempelbagaikan pilihan pelan simpanan bagi jumlah penggunanya yang semakin meningkat.

“Aplikasi ini juga berlandaskan Syariah, dilengkapi ciri keselamatan dalam talian yang canggih, simpanan emas kami juga diaudit oleh juruaudit logam dan dilindungi insurans,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, HelloGold turut mencipta nama dalam sektor kewangan Islam dunia apabila diiktiraf sebagai Syarikat Pengurusan Kekayaan Islamik Fintech Terbaik pada Anugerah Fintech Islamik (WIFA) 2018 di Manama, Bahrin.

Kejayaan itu disebabkan keunikan HelloGold sebagai penyedia simpanan bersandarkan aset patuh Syariah, selain menggunakan teknologi yang pesat dan kolaboratif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robin Lee berkata, pengiktirafan sedemikian adalah bukti usaha dalam menyediakan akses simpanan berlandaskan aset.

Katanya, ia juga adalah produk pinjaman kepada orang ramai yang tidak memiliki institusi kewangan atau yang terasing daripada kepesatan pasaran, termasuklah dalam pasaran dunia Islam.

“HelloGold adalah aplikasi yang membolehkan orang ramai untuk membuat simpanan dalam bentuk emas menggunakan platform mudah alih,” katanya.

WIFA mengiktiraf syarikat fintech yang layak dan berprestasi luar biasa bagi sektor kewangan Islam untuk kecemerlangan mereka dalam memacu perkhidmatan kewangan berlandaskan Syariah.

HelloGold menggunakan teknologi blockchain membolehkan pelanggannya mendapat akses bagi produk dan perkhidmatan kewangan yang berpatutan, bermula dengan emas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 12:01 PM