AHMAD Zaini Othman
AHMAD Zaini Othman
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Malaysia Building Society Bhd (MBSB) menjangkakan untuk menukar semua aset konvesionalnya berjumlah RM1 bilion kepada portfolio aset patuh syariah menjelang 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, institusi berkenaan sehingga kini mempunyai lebih daripada 90 peratus portfolio aset yang berstatus Islamik.

Beliau berkata, bagi baki 10 peratus portfolio aset pula adalah aset konvensional dan ia dijangka selesai ditukarkan kepada aset Islamik dalam tempoh dua tahun yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion.

“Kita akan terus melaksanakan kerja keras melalui pelan perniagaan tiga tahun yang membabitkan 22 inisiatif utama dalam menjadi institusi kewangan Islamik sepenuhnya.

“Semua inisiatif ini juga dipecahkan kepada tiga fasa utama yang akan memfokuskan kepada pertumbuhan perniagaan semasa, memperkasa perniagaan dan meneroka pasaran baru,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MBSB ke-48 di sini, semalam.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, MBSB mencatatkan peningkatan untung sebelum cukai sebanyak 62.74 peratus kepada RM550.73 juta dan untung selepas cukai RM417.13 juta.

Ahmad Zaini berkata, selari dengan aspirasi kepada MBSB untuk menerajui segmen perbankan negara, pihaknya bakal memperkenalkan beberapa produk perbankan baru menerusi MBSB Bank.

Katanya, usaha itu juga akan diperkukuhkan dengan inisiatif digital dengan peruntukan sehingga RM250 juta melalui penawaran perkhidmatan perbankan bersepadu di bawah satu platform.

“Dalam tempoh 18 bulan akan datang, semua komponen akan disatukan seperti penawaran perbankan Internet yang dijangka dapat mencapai sektor sasaran dalam mengekalkan kedudukan bank.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak ketiga untuk menyediakan platform teknologi kewangan yang cekap manakala bagi projek data raya dan gudang data juga dijangka selesai pada hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya turut menyasarkan pertumbuhan pembiayaan pada tahun ini mampu mencapai antara tiga hingga lima peratus didorong segmen pembiayaan rumah mampu milik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:11 AM