SEBANYAK 47 syarikat fintech Islam beroperasi di Malaysia setakat Ogos 2022 berbanding 41 di Indonesia, 29 di UAE dan 25 di Arab Saudi.
SEBANYAK 47 syarikat fintech Islam beroperasi di Malaysia setakat Ogos 2022 berbanding 41 di Indonesia, 29 di UAE dan 25 di Arab Saudi.
Oleh Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Malaysia terus mencatatkan kemajuan dalam perkembangan kewangan Islam dengan kini menjadi pusat peneraju teknologi kewangan (fintech) Islam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sebanyak 47 syarikat fintech Islam beroperasi di Malaysia setakat Ogos 2022 berbanding 41 di Indonesia, 29 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 25 di Arab Saudi.

Baginda yang juga Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia bertitah, syarikat permulaan fintech konvensional juga baru-baru ini menceburi bidang Islam di Malaysia.

"Urus niaga fintech Islam dijangka mencecah AS$128 bilion menjelang 2025, meningkat berbanding AS$49 bilion pada 2020.

"Pertumbuhan kukuh 21 peratus setahun itu didorong penyediaan perkhidmatan kewangan kepada populasi dan sektor yang tidak mempunyai perkhidmatan perbankan dan kurang mendapat perkhidmatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana serta perniagaan mikro," titahnya pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2022 (KLIFF 2022) di sini, semalam.

Sultan Nazrin bertitah, pasaran modal negara termasuk pasaran modal Islam terbukti kekal kukuh meskipun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan pandemik.

Baginda bertitah, sekuriti berlandaskan syariah kini mewakili hampir 80 peratus penyenaraian di Bursa Malaysia.

Malah, titah baginda, Malaysia terus menerajui pasaran sukuk antarabangsa dengan 40 peratus sukuk tertunggak antarabangsa dan pada Jun 2022, ia mewakili hampir 30 peratus keseluruhan terbitan sukuk global.

Melangkah ke hadapan, Sultan Nazrin menitahkan, Malaysia perlu menyediakan keadaan yang betul untuk memastikan pertumbuhan kewangan Islam yang berterusan.

Titah baginda, Malaysia mesti berusaha membangunkan industri kewangan Islam lebih komprehensif dan berdaya tahan menerusi keteguhan rangka kerja undang-undang dan tadbir urus syariah, dinamik pasaran saling berkaitan, kekuatan infrastruktur kewangan dan menerusi produk dan perkhidmatan responsif, canggih dan mudah diakses.

"Memandang ke hadapan, ciri utama sektor ini ialah dimensi antarabangsa kerana kewangan Islam menjadi bahagian penting dalam landskap kewangan global.

"Industri masih terkunci dalam pasaran domestik tidak mungkin berkembang maju. Ini lebih-lebih lagi untuk produk dan perkhidmatan kewangan.

"Peluasan pasaran melangkaui Malaysia perlu diberi keutamaan sebagai sebahagian pembangunan dasar dan hala tuju untuk sektor berkenaan," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 7:00 AM