LIM (kiri) bersama  Takahiro   melancarkan siri produk terbaru Hitachi di One World Hotel.
LIM (kiri) bersama Takahiro melancarkan siri produk terbaru Hitachi di One World Hotel.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Hitachi Sales (Malaysia) Sdn Bhd optimis untuk mencapai pertumbuhan jualan 120 peratus bagi 2018 disokong dengan pengenalan barisan produk barunya.

Pengurus Besar Jualan, Pemasaran, Pentadbir Jualan dan Perkhidmatannya, Lim Lain Tien Steven berkata, Hitachi tampil dengan siri terbarunya yang direka bentuk dengan konsep mesra pengguna dan teknologi Inveter.

Katanya, antara kelengkapan peralatan rumah yang diperkenalkan tahun ini ialah Peti Sejuk Hitachi yang bertaraf dunia siri Big French Deluxe, Mesin Basuh siri Ultra -Stream Wash, Penyaman Udara Teknologi Inverter Vector DC, Periuk Nasi Pemanas Induksi dan Vakum Pelbagai Nozel.

“Bagi setiap kategori produk kami menjangkakan penguasaan pasaran naik kepada 10 peratus tahun ini.

“Kami turut melihat permintaan konsumer terhadap peralatan kelengkapan rumah semakin baik tahun ini dan ia bakal menyumbang kepada jualan kumpulan,” katanya kepada media selepas pelancaran produk baru Hitachi di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusannya, Takahiro Ishii.

Sementara itu, Takahiro berkata, Hitachi dikenali kerana menggabungkan teknologi termaju dalam produknya ditambah dengan kepercayaan yang terbina bersama reputasinya sepanjang 100 tahun sebagai jenama boleh dipercayai.

“Semakin ramai pengguna yang menginginkan peralatan rumah yang lebih tahan lama dan dapat membantu meringankan kerja rumah mereka.

“Semua produk yang kami pamerkan ini diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi dan dilengkapi dengan teknologi terkini untuk membawakan kemudahan dan kualiti hidup kepada pengguna kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 8:45 AM