MAMAKIDDIES  mempunyai cawangan di Setia Alam dan Bangi.
MAMAKIDDIES mempunyai cawangan di Setia Alam dan Bangi.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


WAHAM Sdn Bhd, pengeluar produk barangan bayi dan ibu di bawah jenama Mamakiddies menyasarkan jualan RM15 juta tahun ini berbanding RM7 juta yang direkodkan tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Dr Noohul Basheer berkata, peningkatan jualan dijangka disumbangkan 90 peratus daripada pemasaran dalam talian.

Katanya, Mamakiddies bukan sahaja menambah rangkaian produk dan jualan tahunan, malah turut membuka peluang pekerjaan dalam syarikat.

"Syarikat ini dimulakan bersama isteri ketika menyambung pengajian doktor falsafah di Universiy of Southampton pada 2005 dan menjadi syarikat utama menjalankan perniagaan secara dalam talian di Malaysia dan ada cawangan di Setia Alam dan Bangi.

"Jumlah tenaga kerja kami hampir keseluruhannya anak tempatan dan bertambah dari lapan pekerja awal tahun lalu (sebelum pandemik) kepada 33 pekerja tempatan sekarang.

"Selain Malaysia, Mamakiddies juga beroperasi di Australia yang beribu pejabat di Sydney dan baru-baru ini, Mamakiddies menembusi pasaran Sri Lanka bersama rakan strategik dan eksport pertama kami dalam bentuk kontena sudah dihantar pada Mei lalu," katanya.

Menurutnya, antara produk Mamakiddies yang mendapat permintaan tinggi adalah pagar penghadang bayi, trampolin, kolam renang kanak-kanak dan peralatan lain.

Beliau berkata, Mamakiddies juga menggunakan konsep dari kilang terus ke pengguna apabila produk dihasilkan dijual terus ke pengguna tanpa orang tengah.

"Ini membolehkan harga produk kami mampu milik untuk segenap lapisan masyarakat serta semua produk Mamakiddies memiliki sijil keselamatan dari United Kingdom dan Eropah.

"Syarikat juga mendapat bantuan kewangan dari Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) berjumlah RM1 juta dan pembiayaan ini membolehkan Mamakiddies terus menjadi peneraju produk bayi dan kanak-kanak di Shopee dan Lazada.

"Baru-baru ini, pejabat operasi berpindah ke kawasan perindustrian Meru, Klang yang menggunakan sistem gudang profesional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 12:20 AM