Rangkaian siri SKYWORTH Eye Care.
Rangkaian siri SKYWORTH Eye Care.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: SKYWORTH, peneraju teknologi dalam menyediakan produk inovatif mampu milik, melancarkan Google TV terbaharunya, televisyen (TV) daripada siri Eye Care, Skyworth SUE7600.

SKYWORTH menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, siri SKYWORTH SUE7600 Eye Care itu dilengkapi teknologi Flicker Free dan teknologi penapisan Low Blue Light bagi menapis cahaya biru ke tahap rendah mampu mencegah kerosakan mata yang disebabkan oleh aktiviti menonton siaran televisyen kegemaran pada masa yang lama.

Katanya, teknologi ini juga diiktiraf oleh TÜV Rheinland, peneraju penyedia perkhidmatan teknikal sedunia yang menjalankan pengesahan, pemeriksaan dan pensijilan untuk semua ciri keselamatan produk elektrik.

"Ini menjadikan peranti ini amat sesuai digunakan untuk kanak-kanak dan generasi lebih tua.

"Siri Google TV SKYWORTH SUE7600 ini juga didatangkan dengan skrin bebas sempadan, resolusi 4K Ultra HD serta teknologi gambar Chameleon Extreme 2.0 yang dibangunkan oleh SKYWORTH, bagi kualiti gambar yang lebih optimum untuk pengguna menikmati pengalaman menonton dengan lebih baik.

"Untuk hiburan yang lebih hebat, TV ini juga memiliki teknologi Dolby Audio & DTS Studio Sound yang membolehkan bunyi persekitaran menjadi lebih realistik dan hidup bagi filem atau muzik," katanya.

Pengarah SKYWORTH Malaysia, Kang Ban Thai (tiga dari kiri); Pengarah Urusan SKYWORTH Malaysia, Cocu Li (empat dari kiri) dan pengurusan kanan Lions Club KL Agape Star.
Pengarah SKYWORTH Malaysia, Kang Ban Thai (tiga dari kiri); Pengarah Urusan SKYWORTH Malaysia, Cocu Li (empat dari kiri) dan pengurusan kanan Lions Club KL Agape Star.

SKYWORTH Google TV juga dilengkapi komunikasi dua hala Bluetooth bagi menghubungkan peranti dengan fungsi Bluetooth anda seperti papan kekunci dan tetikus dengan Bluetooh, alat pendengar, alat kawalan Bluetooth dan telefon pintar ke TV atau pembesar suara Bluetooth berbentuk 'soundbar' yang membolehkan pengguna memainkan muzik kegemaran di TV atau pada 'soundbar'.

Di samping itu, ia boleh disambungkan ke lima peranti pada masa yang sama, serta menyokong arahan suara bagi memperhebatkan pengalaman hiburan tanpa perlu memegang alat kawalan TV, sebaliknya, hanya perlu menyebut, 'Hey Google' untuk menghidupkannya.

Selain cirinya yang hebat, siri TV SKYWORTH Eye Care juga boleh didapati dalam pelbagai saiz iaitu 43, 50, 55, 65, 70 dan 75 inci serta tersedia dengan harga bermula RM1,899 (cadangan harga runcit) sehingga ke RM5,199 di hampir 150 gedung perkakasan rumah bebas dan 200 gedung rangkaian termasuk Senheng, Onking, HLK dan TBC.

Sementara itu, sempena pelancaran siri TV Eye Care, satu peratus daripada keuntungan daripada setiap jualan unit baharu Google TV SUE7600 mulai bulan ini sehingga April tahun depan akan disalurkan kepada Lions Eye Clinic Malaysia bagi menyediakan penjagaan mata mampu milik dan berkualiti bagi pesakit yang tidak berkemampuan untuk menjalani pembedahan kerana kos yang tinggi.

Selain itu, mereka juga akan bekerjasama dengan Lions Club KL Agape Star bagi menyediakan pemeriksaan mata secara wajar dan kaca mata mampu milik bagi generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 12:05 PM