NG  (dua dari kanan) pada majlis pelancaran   produk baharu Toshiba Malaysia.
NG (dua dari kanan) pada majlis pelancaran produk baharu Toshiba Malaysia.

Sri Ayu Kartika Amri

TOSHIBA Malaysia memperkenalkan tiga siri produk baharu yang mengetengahkan fungsi rangkaian pintar ditambah baik Internet pelbagai benda (IoT) yang lestari bagi pasaran di negara ini.

Ketiga-tiga siri produk terbaharu ini juga mempunyai ciri keupayaan diagnostik kecerdasan buatan (AI) yang membantu pengguna melakukan pemeriksaan sendiri secara proaktif, menganalisis kesalahan produk serta menawarkan pemulihan dengan sekali sentuhan.

Ia dapat membantu pengguna menyelesaikan masalah dengan lebih pantas dan efektif.

Pengarah Urusan Toshiba Malaysia, Ng Kong Chin berkata, pihaknya melancarkan tiga produk utama iaitu peti sejuk berbilang pintu Toshiba GR-RF665WIA, peti sejuk pintu bersebelahan Tosibha GR-RS755WI, dan mesin basuh muatan hadapan Toshiba T21.

Katanya, peti sejuk berbilang pintu dan peti sejuk pintu sebelah-menyebelah Toshiba baharu ini adalah siri pertama produk syarikat yang dilengkapi dengan tiga ciri utama iaitu teknologi pembersihan, pembuatan ais pantas dan keserasian dengan aplikasi telefon pintar TsmartLife.

"Lazimnya, kebanyakan kawasan di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, mempunyai permintaan tinggi untuk penyimpanan rempah, sos dan makanan laut serta makanan seperti durian atau nangka. Ia mempunyai bau kuat dan boleh mengeluarkan bau kurang menyenangkan di dalam peti sejuk, serta boleh menyebabkan makanan lain turut tercemar dengan bau terbabit.

"Oleh itu, ciri utama peti sejuk berbilang pintu Toshiba ini dilengkapi dengan sistem PureAir, peranti elektronik yang melepaskan ion elektrik secara aktif untuk menyahkuman secara menyeluruh dan menghilangkan bau di seluruh ruang peti sejuk.

"Teknologi pembersihan yang dicipta oleh Toshiba ini adalah teknologi pembersihan yang membunuh bakteria secara aktif dan menyahbau lebih daripada 99 peratus.

"Ia juga bertindak melepaskan komponen ion dalam tenaga elektrik untuk mencapai proses pensterilan dan penyahbau di setiap sudut," katanya.

Bagi mesin basuh muatan hadapan Toshiba T21 keluaran baharu ini, ia menampilkan struktur lebih terperinci, termasuk ruang pembuka pintu kaca (porthole) dan ruang cucian pakaian (drum) yang lebih besar, keserasian dengan aplikasi telefon pintar TsmartLife, serta tambahan ciri wangian baharu iaitu Ultra Fine Nano Bubble eksklusif aroma+.

Menurutnya, ketiga-tiga siri produk terbaru ini menyediakan perkhidmatan IoT yang lestari dan berpotensi untuk dikembangkan, termasuk perkhidmatan selepas jualan secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 7:10 AM