GAMBAR hiasan, sebuah kereta api laju Shinkansen di Jepun.
GAMBAR hiasan, sebuah kereta api laju Shinkansen di Jepun.

Bangkok: Jepun bersetuju untuk menggunakan kereta api laju Shinkansen sebagai model sistem kereta api laju di Thailand, kata Menteri Pengangkutan Thailand, Arkom Termpittayapaisith.

Arkom berkata demikian, selepas bertemu rakan sejawatnya dari Jepun, Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, Keiichi Ishii.

Katanya, mereka berbincang mengenai rancangan pembinaan sistem kereta api laju yang menghubungkan Bangkok dan Chiang Mai.

Ishii berkata, sistem kereta api laju Jepun mempunyai kelebihan besar dari segi keselamatan dan kebolehpercayaan.

Sistem itu boleh ditawarkan pada kos rendah bukan sahaja pada awalnya, tetapi penyenggaraan untuk sepanjang kitaran hayat.

Jepun berminat dengan projek kereta api Bangkok-Chiang Mai serta yang menghubungkan koridor timur-barat yang meliputi Kanchanaburi, Bangkok, Sa Kaeo dan Laem Chabang di Chon Buri.

Kata Arkom, Thailand meminta Jepun meningkatkan usaha dalam kerja kajian kebolehlaksanaan projek itu bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 9:53 AM