KIEW menunjukkan  EncorePro Siri 500  Plantronics.
KIEW menunjukkan EncorePro Siri 500 Plantronics.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Plantronics Inc (Plantronics), memperkenalkan barisan produk terbarunya di pasaran Malaysia, kit telinga EncorePro Siri 500 bagi generasi baru sesuai untuk pusat khidmat pelanggan dan penggunaan pejabat.

Pengurus Besar Kanan Asia Tenggaranya, Alvin Kiew berkata, Plantronics juga optimis menguasai pasaran segmen set fon telinga Bluetooth yang disasarkan kepada pengguna premium.

Katanya, rekaan Plantronics Siri 500 itu menampilkan teknologi terkini yang dapat memenuhi keperluan golongan profesional.

“Antara model yang diperkenalkan di pasaran Malaysia adalah EncorePro 510 dan 520 (melingkupi kepala), EncorePro 530 (telinga) dan EncorePro 540 (boleh ubah). Kesemuanya dilengkapi dengan keupayaan audio berprestasi tinggi dalam apa jua gaya pemakaian dan paling penting ia juga menyokong penggunaan audio jalur lebar.

“Kami percaya barisan produk baru ini akan mendapat sambutan daripada pengguna Malaysia kerana syarikat menjaga kualiti dan ia juga produk premium,” katanya kepada Bisnes Metro pada majlis pelancarannya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, EncorePro Siri 500 ini juga disasarkan untuk mereka yang bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan kerana mempunyai gabungan sistem kawalan pengguna yang berkemampuan untuk menjawab panggilan dan melaraskan kekuatan suara.

Kiew berkata, pekerja perkhidmatan pelanggan bukan saja dilindungi bunyi lebih daripada 118 dBA, tetapi juga perlindungan anti sentakan kerana dapat mengesan dan menghapuskan peningkatan suara secara mendadak.

Beliau berkata, ini sekali gus membantu mengurus purata pendedahan bunyi setiap hari yang diterima oleh pekerja dalam perkhidmatan pelanggan.

“Kami sedang membina kit telinga bertaraf profesional yang paling berjaya di dunia dan ini adalah cabaran buat kami. Menerusi portfolio baru kami, organisasi dapat mengenal pasti manfaat melalui pembekalan peralatan sedia ada untuk operasi yang lebih berkesan dan memberi pengalaman positif kepada kedua-dua pihak iaitu wakil perkidmatan pelanggan dan pelanggan.

“EncorePro Siri 500 ini mempunyai rekaan canggih serta bergaya dan didatangkan dengan mikrofon pembatalan suara khas, fleksibel dengan panduan kedudukan, mempunyai audio jalur lebar dengan teknologi SoundGuard®, boleh dilaras mengikut kegunaan seharian dan tahan lasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:07 AM