DR Ahmad Fadzil
DR Ahmad Fadzil
BERNAMA

Kuala Lumpur: SIRIM Bhd dan Hitachi Asia (M) Sdn Bhd bekerjasama bagi memperkenal serta penggunaan penyelesaian digital berteraskan Industri 4.0 untuk kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri pembuatan.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, penyelesaian berkenaan juga akan dibuat khusus bagi menepati keperluan perusahaan moden serta berpatutan di Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menurutnya, pusat itu juga membolehkan PKS untuk meneliti, menimba pengetahuan dan memahami platform atau teknologi relevan serta kes penggunaan bagi melonjakkan PKS ke dalam era Industri 4.0.

"Oleh kerana pelaksanaan teknologi dalam industri pembuatan dan perkhidmatan masih rendah di Malaysia, SIRIM akan mengambil pendekatan bersesuaian bagi membantu industri berkenaan.

"PKS boleh mencapai Industri 4.0 menerusi sistem fizikal siber yang merangkumi digitalisasi, kesalinghubungan dan analisis," katanya pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SIRIM dan Hitachi secara maya di sini, semalam.

Majlis turut disaksikan Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka; Pengerusi Sirim, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Pengarah Urusan Hitachi, Chew Huat Seng.

Menerusi MoU itu, Sirim akan memperkenalkan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer selain penyelesaian analisis inventori kepada pengeluar PKS.

Satu penyelesaian kawalan kualiti rantaian bekalan digital akan turut diperkenalkan untuk pengeluar PKS berdasarkan teknologi dan ciri-ciri kepakaran berkaitan rantaian global Hitachi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 8:05 AM