KETUA Pegawai Pemasaran Xixili Intima Sdn Bhd Tara Tan (kiri) dan Senthil menunjukkan laman sesawang pembelian atas talian.
KETUA Pegawai Pemasaran Xixili Intima Sdn Bhd Tara Tan (kiri) dan Senthil menunjukkan laman sesawang pembelian atas talian.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) komited membantu lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan terutama dalam industri runcit bagi menerokai segmen e-dagang melalui penyelesaian lengkap dan menyeluruhnya dikenali mShop.

Ketua Pembangunan Perniagaannya Senthil Balan Danapalan berkata, pasaran e-dagang di Malaysia ketika ini bernilai AS$1 bilion (RM4.08 bilion) dan angka itu dijangka meningkat kepada dua hingga tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, syarikat melihat potensi yang bakal diraih PKS tempatan berdasarkan corak pencarian dan pembelian yang dilihat kini sedang berkembang pesat.

“Kira-kira 83 peratus daripada rakyat Malaysia memulakan penyelidikan atas talian apabila ingin mencari produk baru manakala 50 peratus pengguna Malaysia membuat pembelian atas talian secara bulanan,” katanya pada Bisnes Metro, di sini.

mShop satu penyelesaian lengkap untuk memacu jualan dan pelanggan baru bagi PKS yang ingin menerokai dan memanfaatkan potensi e-dagang.

Perkhidmatan utama yang ditawarkan termasuk membina kedai elektronik dengan mewujudkan kehadiran e-dagang di komputer dan mudah alih serta menawarkan perkhidmatan pemasaran bagi segmen utama melalui saluran digital.

Beliau berkata, ruang e-dagang menawarkan peluang baru kepada PKS tempatan kerana sikap pelanggan dalam mencari, membeli dan membayar produk kini berubah melalui platform laman web dan mudah alih.

Menurutnya, terdapat kira-kira 300,000 PKS dalam industri runcit pada masa ini yang tampil dengan jenama dan produk berkualiti di mana Maxis bersemangat untuk menyokong mereka untuk memanfaatkan potensi e-dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 6:08 AM