AKSI Hamilton pada sesi latihan. FOTO REUTERS
AKSI Hamilton pada sesi latihan. FOTO REUTERS
Agensi

Sakhir: Lewis Hamilton mengakui prestasi mengagumkan Mercedes pada sesi latihan kedua untuk Grand Prix (GP) Bahrain adalah mengejutkan.

Hamilton mengungguli sesi latihan kedua di Litar Antarabangsa Bahrain awal pagi tadi mengatasi rakan sepasukan di Mercedes, George Russell.

Walaupun Red Bull dan Max Verstappen dilihat mempunyai kelebihan semasa simulasi perlumbaan, yang pasti Mercedes mencapai kemajuan lebih baik berbanding tahun lalu.

Hamilton yang juga juara dunia tujuh kali berkata, dia gembira dengan prestasi jenteranya dan perubahan di tempat duduk memberi kelebihan kepadanya.

"Saya lebih gembira dengan kereta tahun ini. Kedudukan tempat duduk lebih luas.

"Saya berasa lebih baik ketika mengambil selekoh dan terdapat beberapa perkara lain yang dibaiki serta ditambah baik. Ia benar-benar rasa seperti kereta lumba.

"Kereta musim lalu tidak seperti itu. Ia permulaan yang baik tetapi kami tidak mahu terlalu mendabik dada sebaliknya terus berusaha mendapatkan kereta terbaik," katanya.

Seperti Russell, Hamilton masih meragui Mercedes mampu mencabar Verstappen untuk kemenangan pada perlumbaan sebenar, sebaliknya dia mengakui terdapat banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk perlumbaan pertama itu.

"Kepantasan kami menghampiri Red Bull tetapi masih banyak perkara yang perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 10:01 AM