CHARLES Leclerc ketika sidang media. FOTO AFP
CHARLES Leclerc ketika sidang media. FOTO AFP
AFP

Sakhir: Charles Leclerc dari Ferrari mencatat masa terpantas pada hari terakhir sesi ujian musim sejuk Formula Satu (F1) di litar Sakhir yang turut akan menganjurkan perlumbaan pembuka tirai minggu depan.

Leclerc bagaimanapun mengakui juara dunia, Max Verstappen dan Red Bull mempunyai 'permulaan yang baik'.

Leclerc berada 0.046 saat di hadapan pemandu Mercedes, George Russell manakala Zhou Guanyu dari China melakar kejutan dengan masa ketiga terpantas bersama jentera Sauber.

Verstappen yang sedang memburu kejuaraan dunia kali keempat berturut-turut, hanya mencatat masa keempat terpantas dengan Yuki Tsunoda dari Jepun Racing Bulls melengkapkan kedudukan lima teratas.

Musim baharu F1 akan bermula di Bahrain pada 2 Mac dan menampilkan rekod pusingan 24 perlumbaan.

"Semua yang kami harapkan daripada kereta ini, kami memperolehinya di litar," kata Leclerc, sehari selepas rakan sepasukannya, Carlos Sainz turut mendominasi sesi ujian.

Leclerc tidak terlalu teruja dengan keputusan diraihnya itu di mana Ferrari dilihat mampu mengatasi Red Bull.

"Buat masa ini, Red Bull masih mempunyai permulaan yang baik," katanya.

Sepanjang tiga hari ujian, Sainz yang akan kehilangan tempat duduknya kepada juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton pada penghujung musim, adalah satu-satunya pemandu yang mencatat masa di bawah 1 minit 30 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 9:52 AM