VERSTAPPEN muncul juara GP Australia 2023. FOTO AFP
VERSTAPPEN muncul juara GP Australia 2023. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Max Verstappen menahan asakan Lewis Hamilton yang kembali bersemangat untuk mengemudi Red Bull mencapai kemenangan dalam perlumbaan huru-hara di Grand Prix (GP) Australia dan mengukuhkan cengkaman untuk mempertahankan kejuaraan dunia.

Juara dunia itu bermula dari petak utama dan walaupun dipintas pasangan Mercedes, George Russell dan Hamilton pada permulaan, dia tetap tenang untuk memenangi perlumbaan yang disertai kibaran bendera merah sebanyak tiga kali, berikutan beberapa kemalangan.

Hamilton menduduki tempat kedua di depan pelumba Aston Martin, Fernando Alonso, yang menaiki podium kali ketiga daripada tiga perlumbaan tahun ini.

"Kami bermula dengan agak teruk, pusingan pertama saya sangat berhati-hati," kata pelumba Belanda itu yang memenangi aksi pembukaan di Bahrain dan menduduki tempat kedua di Jeddah.

"Selepas itu, jentera saya bergerak dengan laju. Mengenai bendera merah ini, saya tidak tahu, saya tidak begitu faham. Ia agak kucar-kacir tetapi kami mempunyai rentak yang baik dan kami menang, jadi itu penting.

Ia adalah hari yang buruk bagi Charles Leclerc dari Ferrari, juara tahun lalu, yang berpusing pada pusingan pertama, manakala jentera Russell terbakar pada pusingan ke-19 dan perlumbaannya juga berakhir.

Ia adalah kemenangan pertama Verstappen di Melbourne dan pertama Red Bull di Australia sejak kemenangan Sebastian Vettel pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 9:38 PM