TIMBALAN Presiden MAM, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi. FOTO MAM
TIMBALAN Presiden MAM, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi. FOTO MAM
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Pengalaman berharga diraih pasukan CryptoData RNF MotoGP Team bersaing dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dikongsikan bersama kepada 100 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam Sesi Permotoran Remaja anjuran Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Timbalan Presiden MAM, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi berkata, program pra perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia yang berlangsung hujung minggu ini adalah inisiatif untuk memupuk bakat masa depan dalam dunia permotoran dengan merangkumi pelbagai aspek.

"Program seperti ini dapat memberi pendedahan dan inspirasi tentang sukan permotoran khususnya dua roda dalam MotoGP.

"MAM akan terus menjalankan program dan memberi peluang seperti ini bagi kesinambungan industri sukan permotoran," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Program yang berlangsung di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menampilkan dua anak tempatan yang berkecimpung dalam MotoGP bersama pasukan RNF MotoGP iaitu prinsipalnya, Datuk Razlan Razali dan mekanik, Hibbatullah Fuad serta pelumba mereka, Raul Fernandez.

Hibbatullah yang berasal dari Parit Buntar, Perak menjadi mekanik Malaysia pertama berkhidmat di dalam pasukan MotoGP.

Sementara itu, Razlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkata, beliau sentiasa menyokong penganjuran program seperti ini.

"Ia sahaja dapat memupuk minat lebih ramai belia dalam sukan permotoran malah memberi inspirasi untuk mereka melihat Kejohanan Dunia sebagai sebuah peluang untuk meningkatkan skil dan kerjaya mereka," katanya yang juga pemilik RNF MotoGP.

Terdahulu, kira-kira 100 pelajar IKBN dari Jitra, Kedah dan Sepang itu yang antaranya menumpukan kepada bahagian mekanikal dua roda teruja apabila berpeluang mendengar pengalaman, mengajukan soalan dan bergambar bersama ketiga-tiga wakil RNF MotoGP itu.

Turut hadir, bekas pelumba negara Zulfahmi Khairuddin dan barisan pelumba muda tempatan dari kejohanan FIM MiniGP Malaysia, Kejohanan Minibike Malaysia dan Kejohanan Mini Cup Prix.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 7:59 PM