ANIQ kini menduduki ranking kelapan dunia dalam kategori 61kg dan berpeluang cerah layak ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
ANIQ kini menduduki ranking kelapan dunia dalam kategori 61kg dan berpeluang cerah layak ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) percaya ada kemungkinan untuk menyaksikan satu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 diraih atlet negara yang beraksi pada Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand, bermula esok sehingga 11 April depan.

Tiga atlet negara akan beraksi di kejohanan itu iaitu Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin dalam kategori 61 kilogram (kg) manakala Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 73kg.

Namun, tumpuan kini terarah kepada Aniq yang dilihat mempunyai peluang cerah layak ke Paris 2024 selepas menduduki ranking kelapan dalam kategorinya.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, prestasi semasa Aniq menunjukkan dia berpeluang untuk mengesahkan tiket ke Paris 2024 di Phuket selain memenuhi segala syarat ditetapkan untuk layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

"Kejohanan di Phuket ini adalah kejohanan terakhir untuk kelayakan ke Olimpik Paris 2024 dan ia kejohanan kelima disertai Aniq.

"Berdasarkan prestasi terkini serta melihat kepada pesaing lain yang kami sudah kenal pasti, mungkin ada peluang untuknya (layak ke Olimpik). Apapun sama-sama kita doakan semoga dia berjaya," katanya.

Aniq kini pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 61kg dengan angkatan 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Berdasarkan kedudukan ranking, atlet China, Li Fabin sedang mendahului dengan jumlah angkatan 314kg diikuti Massidda Sergio dari Itali (302kg) manakala Irawan Eko Yuli dari Indonesia di tempat ketiga (300kg).

Berdasarkan syarat kelayakan ke Paris 2024 dalam acara angkat berat, 10 atlet terbaik yang berada dalam ranking dunia akan layak secara automatik ke temasya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 5:31 PM