DATUK Ayub Rahmat. FOTO NSTP
DATUK Ayub Rahmat. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan meraih gangsa di Kejohanan Angkat Berat Dunia membuatkan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bercadang mengemukakan rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyenaraikan dua atletnya, Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin dalam program Road to Gold (RTG).

Menurut Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, Aniq sudah membuktikan kemampuannya dengan berjaya meraih gangsa acara clean&jerk bagi kategori 61 kilogram (kg) di kejohanan itu yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, malam tadi.

"Ia membuktikan atlet angkat berat berpotensi untuk menyumbang pingat buat Malaysia di pentas antarabangsa. Kami berharap agar menteri (Hannah) dapat memberikan perhatian kepada sukan ini," katanya.

Aniq, 21, meraih gangsa selepas melakukan angkatan 166kg dan juha melakukan angkatan 125kg bagi acara snatch dengan berjaya mencatat keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg.

Ini adakah kali kedua Aniq memenangi pingat di Kejohanan Dunia selepas meraih perak dalam acara clean&jerk dalam kategori 55kg pada edisi 2021 yang berlangsung di Uzbekistan.

Pingat emas acara clean&jerk kali ini dimenangi atlet Amerika Syarikat, Hampton Moris dengan angkatan 168kg manakala Li Fabin dari China meraih perak (167kg).

Kejayaan meraih gangsa di Riyadh meletakkan atlet berasa dari Johor itu di landasan tepat bagi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menghuni kedudukan ranking kesembilan keseluruhan selepas tiga kejohanan - Kejohanan Angkat Berat Asia di Jinju, Korea Selatan dan Kejohanan Grand Prix IWF di Havana Cuba dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi (Kejohanan Wajib Kelayakan ke Olimpik).

Hanya 10 atlet terbaik setiap kategori (satu atlet satu negara) Olimpik layak secara automatik untuk ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

Sementara itu, Aznil yang mencatat keseluruhan angkatan 290kg selepas mencatat 129kg bagi snatch dan 161kg clean&jerk di Riyadh ketika ini berada di kedudukan ranking ke-11 kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.

Tambah Ayub, badan induk itu merancang untuk mengadakan latihan di luar negara buat Aniq dan Aznil sebagai persiapan menghadapi baki tiga kali kejohanan kelayakan ke Paris.

"Ada baki tiga lagi kejohanan kelayakan Olimpik iaitu Kejohanan Grand Prix IWF 2 (4 hingga 14 Disember 2023) di Qatar, Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan (3 hingga 10 Februari 2024) dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2 hingga 12 April 2024).

"Bagi menghadapi Kejohanan di Qatar, PABM sedang merancang untuk atlet menjalani latihan di luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 4:58 PM