ANIQ Kasdan. FOTO Agensi
ANIQ Kasdan. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semangat atlet angkat berat negara, Aniq Kasdan semakin membara selepas dia berjaya meraih gangsa di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi semalam.

Menurut atlet kelahiran Johor itu, kejayaan di Riyadh memberi tenaga tambahan buat dirinya bagi mengharungi baki tiga lagi kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Alhamdulilah, ini adalah pingat kedua bagi saya di Kejohanan Dunia. Ini adalah pencapaian kedua terbesar saya selepas Sukan Komanwel (emas)," katanya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ujar Aniq, kejayaan yang dilakar semalam diharap mampu menjadi motivasi untuknya bagi melakar kejayaan pada masa akan datang.

"Saya akan terus bekerja keras dan kekal fokus bagi membuat persiapan menghadapi tiga lagi baki kejohanan selepas ini," katanya yang turut memecahkan rekod kebangsaan.

Atlet berusia 21 tahun itu memenangi pingat gangsa acara clean & jerk selepas melakukan angkatan 161 kilogram (kg) untuk meraih gangsa.

Lebih manis, dia yang melakukan angkatan 125kg bagi acara snatch berjaya mencatat keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg.

Ini adakah kali kedua Aniq memenangi pingat di Kejohanan Dunia selepas meraih perak dalam acara clean & jerk dalam kategori 55kg pada edisi 2021 yang berlangsung di Uzbekistan.

Pingat emas acara clean & jerk kali ini dimenangi atlet Amerika Syarikat, Hampton Moris dengan angkatan 168kg manakala Li Fabin dari China meraih perak (167kg).

Ketika ini, dia landasan tepat untuk menjadi atlet angkat berat pertama Malaysia layak ke temasya terbesar dunia itu apabila berada di kedudukan ranking kesembilan keseluruhan selepas mengharungi tiga kejohanan.

Hanya 10 atlet terbaik setiap kategori (satu atlet satu negara) Olimpik layak secara automatik untuk ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

Aniq selepas ini akan mengharungi tiga lagi kejohanan kelayakan iaitu Kejohanan IWF Grandprix 2 (4 hingga 14 Disember 2023) di Qatar, Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan (3 hingga 10 Februari 2024) dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2 hingga 12 April 2024).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 5:48 PM