Aniq cemerlang rangkul gangsa di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi. -FOTO X World Weightlifting Championships 2023
Aniq cemerlang rangkul gangsa di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi. -FOTO X World Weightlifting Championships 2023
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status rayuan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) membabitkan dua atlet mereka Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) atau sebaliknya hanya diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pada masa ini beliau tidak boleh memberikan sebarang kata putus mengenai status dua badang negara itu memandangkan jawatankuasa RTG turut dipengerusikan bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua keputusan masuk atau keluar atlet (dalam RTG) hanya boleh diputuskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh menteri dan presiden MOM yang turut dianggotai bekas atlet.

"Jadi, kita perlu tunggu mesyuarat dulu sebelum sebarang keputusan dibuat," kata Hannah ketika ditemui selepas Majlis Perlawanan Persahabatan Malaysia dan Korea Selatan Untuk Meraikan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Sebelum ini, Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Hannah untuk Aniq dan Aznil disenaraikan dalam RTG.

Hal ini kerana, Aniq berjaya memenangi pingat gangsa acara clean & jerk dengan angkatan 166 kilogram (kg) bagi kategori 61 kilogram di Kejohanan Angkat Berat Dunia yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, Rabu lalu.

Lebih manis, dia yang melakukan angkatan 125kg bagi acara snatch berjaya mencatat keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg.

Kejayaan meraih gangsa di Riyadh meletakkan atlet berasa dari Johor itu di landasan tepat bagi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menghuni kedudukan ranking kesembilan keseluruhan selepas tiga kejohanan - Kejohanan Angkat Berat Asia di Jinju, Korea dan Kejohanan IWF Grandprix di Havana Cuba dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi (Kejohanan Wajib Kelayakan ke Olimpik).

Hanya 10 atlet terbaik setiap kategori (hanya satu atlet satu negara) Olimpik layak secara automatik untuk ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

Sementara itu, Aznil yang mencatat keseluruhan angkatan 290kg selepas mencatat 129kg bagi snatch dan 161kg clean&jerk di Riyadh ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 5:47 PM