ANIQ masih optimis peluang ke Paris.
ANIQ masih optimis peluang ke Paris.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan tidak gusar mengenai kedudukan rankingnya yang kini jatuh satu anak tangga dari kedudukan ketujuh ke kedudukan kelapan.

Aniq yang dalam pemburuan ke temasya Olimpik Paris berkata, ia perkara biasa yang berlaku ketika ramai atlet bersaing untuk merebut tempat ke Olimpik.

Katanya, dia masih optimis berhubung peluangnya ke Paris dan masih ada satu lagi kejohanan kelayakan terakhir iaitu di kejohanan Piala Dunia Angkat Berat di Phuket, Thailand dari 2 hingga 11 April ini.

"Kejatuhan ranking itu perkara biasa kerana semua atlet sedang berusaha keras untuk layak ke Paris. Ada yang naik ada turun. Saya tak gusar kerana peluang masih terbuka dan penting adalah kejohanan di Phuket nanti yang mana saya perlu menggunakan strategi tepat untuk memastikan kedudukan ranking saya tidak tergugat," katanya.

Aniq kini pemenang rekod kebangsaan dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan angkatan 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Berdasarkan kedudukan ranking atlet China Li Fabin sedang mendahului dengan jumlah angkatan 314kg diikuti Massidda Sergio dari Itali (302kg) manakala Irawan Eko Yuli dari Indonesia ketiga (300kg).

Berdasarkan syarat kelayakan ke Paris dalam acara angkat berat, 10 atlet terbaik yang berada dalam ranking dunia akan layak secara automatik ke temasya Olimpik.

Bagi memastikan perkara itu, Aniq kini giat meneruskan latihan setiap hari seperti biasa biarpun di bulan Ramadan. Katanya, sisi latihan akan berlangsung pada sebelah pagi dan petang.

"Masa untuk ke Phuket dan suntuk. Tiada masa lagi untuk sesi latihan ringan. Latihan perlu mengikut apa yang sudah dijadualkan oleh jurulatih. "Sama saja seperti latihan sebelum-sebelum ini," katanya yang kini berlatih di bawah bimbingan bekas atlet kebangsaan, Edmund Yeo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 4:16 PM