BURHANUDDIN (dua dari kiri) menyerahkan dokumen perjanjian penajaan kepada Che Ku Mohd Izmuddin (kanan) sambil disaksikan Mohd Fadhil (dua dari kanan), hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
BURHANUDDIN (dua dari kiri) menyerahkan dokumen perjanjian penajaan kepada Che Ku Mohd Izmuddin (kanan) sambil disaksikan Mohd Fadhil (dua dari kanan), hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pasukan berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mendapat suntikan semangat apabila menerima penajaan RM2 juta daripada Terengganu Incorporated (Terengganu Inc).

Tajaan itu bagi membolehkan pasukan bertaraf benua yang sudah menempa nama di persada dunia itu dapat meneruskan persaingan lebih hebat di pentas antarabangsa termasuk empat perlumbaan sepanjang Ramadan bagi musim 2024.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, tajaan tunai itu bagi memastikan pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu dapat meneruskan momentum kecemerlangan mereka.

"Jumlah penajaan itu disalurkan bagi menyuntik semangat pelumba untuk mempertingkatkan prestasi seperti diperagakan TSG di pentas antarabangsa.

"Tajaan secara bersama TDM Berhad dan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) ini selepas melihat kepada prestasi tinggi yang konsisten diperagakan TSG pada tahun ini.

"Kami bersetuju mengekalkan tajaan kepada TSG sebanyak RM2 juta bagi memperkasakan lagi jenama secara komprehensif serta mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak," katanya pada majlis memeterai perjanjian penajaan antara Terengganu Inc dengan TSG, hari ini.

Pada majlis itu, Burhanuddin menandatangani perjanjian bagi pihak Terengganu Inc manakala TSG diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Fadhil Rahmi Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 9:39 PM