Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), mendapat suntikan baharu bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim depan selepas mendapat penajaan bernilai RM2 juta daripada Terengganu Incorporated (Terengganu Inc).

Tajaan berbentuk kewangan itu bagi membolehkan pasukan bertaraf benua yang sudah menempa nama di persada dunia dapat meneruskan persaingan lebih hebat di pentas antarabangsa bagi musim 2023.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, tajaan dalam bentuk tunai itu bagi memastikan pasukan yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam saingan musim depan.

Beliau berkata, jumlah penajaan musim baharu dinaikkan berbanding tahun ini selepas melihat prestasi yang diperagakan TSG meningkat termasuk berjaya merangkul gelaran juara Asia dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), tahun lalu.

"Tajaan secara bersama TDM Berhad dan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) ini selepas melihat kepada prestasi tinggi yang konsisten diperagakan TSG pada tahun ini.

"Musim ini sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan kepada TSG, tapi bagi musim 2023, nilai tajaan dinaikkan sehingga RM2 juta sekali gus memperkasakan lagi jenama secara komprehensif serta mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.

"Jadi suntikan kewangan dengan tambahan RM500, 000 ini diharap dapat membantu pasukan terbaik negara itu melakukan persediaan dan perancangan lebih rapi bagi melakar kejayaan yang lebih membanggakan pada musim baharu nanti.

"Kita juga optimis dengan penajaan sedia ada dan suntikan penajaan yang baharu ini yang juga tahun kelima berturut-turut, pelumba TSG mampu bersaing hebat di bumi sendiri dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 18 Oktober depan sekali gus dapat mengharumkan nama negara dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memeterai perjanjian penajaan antara Terengganu Inc dengan TSG di sini petang semalam, dalam majlis itu, Burhanuddin menandatangani perjanjian bagi pihak Terengganu Inc manakala TSG diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Sementara itu Che Ku Izmuddin berkata, bagi musim baharu nanti, TSG berjaya mengumpul jumlah penajaan sebanyak RM11 juta setakat ini dalam pelbagai bentuk termasuk barangan, perkhidmatan dan wang tunai.

Beliau berkata, jumlah penajaan tertinggi dalam sejarah penubuhan TSG bermula 2011 itu diperoleh melalui hasil gerak kerja berpasukan selain sokongan padu daripada kerajaan negeri.

"Hasil kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri serta kerja berpasukan, membolehkan kita berjaya mengumpul jumlah penajaan tertinggi dalam sejarah penubuhan TSG, Insya-Allah dalam tempoh lima tahun akan datang, kita merancang untuk miliki kompleks pentadbiran sendiri sekali gus bakal menaikkan lagi imej pasukan.

"Pada masa sama kita turut mengharapkan pelumba kita mampu bersaing hebat di pentas antarabangsa biarpun sedar ianya bukan tugas mudah untuk direalisasikan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 11:20 AM
Burhanuddin (dua kanan) bersama Che Ku Mohd Izmuddin semasa majlis Menandatangani Kontrak Penajaan di Studio TSG. FOTO GHAZALI KORI
Burhanuddin (dua kanan) bersama Che Ku Mohd Izmuddin semasa majlis Menandatangani Kontrak Penajaan di Studio TSG. FOTO GHAZALI KORI