SKUAD B-23 di Qatar. FOTO FB FAM
SKUAD B-23 di Qatar. FOTO FB FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kerinduan menyambut 1 Syawal bersama keluarga tercinta terubat apabila skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menyambutnya di Doha, Qatar.

Sambutan babitkan barisan pemain bersama Kedutaan Besar Malaysia di Qatar cukup meriah, malah suasana perayaan itu dilengkapkan dengan tajaan baju raya daripada tekstil gergasi termuka negara, Jakeltextile.

Ketua jurulatih Harimau Malaya B-23, Juan Torres Garrido menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jakel yang hadir untuk menaja baju raya buat skuad kendaliannya ketika jauh dari tanah air.

"Tajaan baju raya ini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan barisan pemain saya yang tidak dapat menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.

"Terima kasih Jakel di atas keprihatinan anda dan saya percaya ini dapat memberi lonjakan motivasi kepada pemain-pemain saya pada aksi pertama Piala Asia B-23 2024 nanti," kata Garrido.

Tajaan berbentuk set baju Melayu berserta samping dan songkok itu telah diserahkan kepada kesemua 23 pemain termasuk 14 pegawai sebelum skuad muda kebangsaan itu terbang ke Qatar pada 1 April lalu.

Baju raya itu diperagakan oleh skuad Harimau Malaya B-23 ketika berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ia turut disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Qatar, TYT Zamshari Shaharan.

Skuad B-23 ketika ini berada di Qatar bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 yang dijadual berlangsung minggu depan.

Pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 9:12 PM