Hisrohi Hamada (tengah) bergambar semasa bertukar dokumen dengan Presiden MsDeaf, Ong Shin Ruenn (kiri). -FOTO Mohd Amin Jalil
Hisrohi Hamada (tengah) bergambar semasa bertukar dokumen dengan Presiden MsDeaf, Ong Shin Ruenn (kiri). -FOTO Mohd Amin Jalil
Oleh Mohd Amin Jalil


Nilai: Proses pemulihan kecederaan penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak berjalan dengan baik dan dijangka akan dapat turun beraksi pada awal Disember ini.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, yang menegaskan bahawa pemain bagi pasukan Azul Claro Numazu, yang beraksi di Divisyen 3 Liga Jepun itu menunjukkan perubahan yang positif apabila kecederaan 'anterior cruciate ligament (ACL) yang dialami kaki kanannya semakin pulih.

"Kecederaan ACL dialami Hadi Fayyad semakin pulih dan dia dijangka akan beraksi semula pada awal Disember ini memandangkan Liga Bola Sepak Jepun (Jleague) masih lagi berlangsung sehingga pertengahan Disember 2021.

"Saya baru bertanya kepada beliau (Hadi Fayadh) berkaitan perkembangannya, dia sudah boleh berlari dan berlatih dengan bola cuma sedikit kurang pada kaki sebelah kanan.

"Mereka berharap agar Hadi dapat menyertai pasukan sebelum musim ini berakhir pada pertengahan Disember ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) Penajaan Antara Yakult Malaysia dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) di Kompleks Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini

Yang turut hadir, Presiden MSdeaf, Ong Shin Ruenn dan pemain Kelab Kelantan United FC (KUFC), Masashi Motoyama.

Pada majlis yang sama, pihak Yakult Malaysia memberikan tajaan berbentuk wang tunai dan juga barangan yang bernilai RM60,000.

Tajaan ini merangkumi wang tunai sebanyak RM50,000 serta minuman probiotik Yakult dan pakaian sukan yang bernilai RM 10,000.

Dalam majlis yang sama juga, Masashi yang juga bekas pemain kebangsaan Jepun memberi sumbangan peribadi berupa wang tunai sebanyak RM10,000 kepada MSDeaf.

Hadi Fayyad mengalami kecederaan ACL pada kaki kanannya yang dialami ketika sesi latihan pada April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 1:12 PM