LAVREYSEN memenangi cara pecut. FOTO AFP
LAVREYSEN memenangi cara pecut. FOTO AFP
AFP

Glasgow: Pelumba Belanda, Harrie Lavreysen mencipta sejarah di Glasgow awal pagi tadi selepas memenangi gelaran dunia kelima berturut-turut dalam acara pecut, acara utama dalam berbasikal trek di Kejohanan Berbasikal Dunia.

Kieran Reilly dari Britain sebelum ini merangkul emas pertama tuan rumah dalam acara acara BMX Freestyle Park.

Lavreysen, 26, berada dalam prestasi cemerlang ketika dia menewaskan Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago di final, untuk muncul pelumba pecut pertama dalam sejarah memenangi lima kejuaraan dunia berturut-turut sejak permulaan era profesional pada 1992.

Lavreysen kini sudah memenangi 13 gelaran dunia secara keseluruhan dan akan menjadi pilihan utama untuk memenangi tiga pingat emas tahun depan di Sukan Olimpik Paris.

Juara Olimpik Tokyo dua kali itu kini mempunyai lima gelaran dalam acara individu, lima dalam acara pecut berpasukan dan tiga gelaran dalam acara keirin, satu lagi disiplin Olimpik.

"Saya berada dalam prestasi terbaik di kejohanan ini dan ia memerlukan tenaga yang banyak kerana hari perlumbaan berlangsung berturut-turut.

"Saya harap dapat mengekalkan kelebihan ini, saya suka acara pecut," kata Lavreysen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 8:51 AM