PEMAIN Terengganu Turtles muncul naib juara Liga Divisyen 1 selepas tewas di tangan PDRM Defenders, baru-baru ini. FOTO PSNT
PEMAIN Terengganu Turtles muncul naib juara Liga Divisyen 1 selepas tewas di tangan PDRM Defenders, baru-baru ini. FOTO PSNT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas muncul naib juara Liga Divisyen 1, pasukan Terengganu Turtles menyasarkan menjadi empat pasukan terbaik dalam Liga Sepak Takraw (STL) Champion Cup 2022/2023.

Kejohanan bakal berlangsung di Iskandar Malaysia Studios, Iskandar Puteri, Johor bermula 30 Julai hingga 5 Ogos itu bakal menampilkan lapan pasukan terbaik membabitkan enam pasukan dari Liga Premier dan johan serta naib juara Liga Divisyen 1.

Pengurus pasukan, Wan Shahrul Nizam Wan Shafi'i berkata, sasaran itu realistik berdasarkan prestasi semasa pemain selain pengalaman dimiliki mereka.

Jelas pengurus terbaik Liga Divisyen 1 musim ini, kehadiran tekong berpengalaman, Muhammad Zulkifli Abd Razak atau lebih dikenali sebagai 'Sobey' selain apit kiri, Mohd Muqlis Borhan bakal menambah lagi kekuatan pasukan.

Katanya, semua pemain yang membantu Terengganu Turtles mara ke Liga Premier musim depan bakal dikekalkan bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan pasukan lain.

"Sasaran awal kita untuk mara ke separuh akhir saingan itu dan ia realistik berdasarkan prestasi semasa pemain selain muncul naib juara Liga Divisyen 1, baru-baru ini.

"Selain Sobey dan Muqlis, kami diperkuat perejam Thailand, Sutthikiart Pansaenkaew selain tekong baharu dari Thailand, Kritsada Sungvung yang sebelum ini tidak beraksi dalam saingan Liga Divisyen 1.

"Jika mampu mara ke final, ia adalah bonus selepas lima tahun tidak dapat beraksi di pentas itu kerana gagal menempatkan diri dalam kelompok dua pasukan terbaik Liga Divisyen 1," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 5:47 PM