PEMAIN dan pihak pengurusan pasukan sepak takraw Terengganu Turtles selepas muncul naib juara Liga Divisyen 1. -FOTO Terengganu Turtles.
PEMAIN dan pihak pengurusan pasukan sepak takraw Terengganu Turtles selepas muncul naib juara Liga Divisyen 1. -FOTO Terengganu Turtles.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas lima tahun mencuba, akhirnya pasukan sepak takraw Terengganu Turtles berjaya menempatkan diri dalam kelompok pasukan yang bakal beraksi dalam saingan Liga Premier, musim depan.

Pengurus, Wan Shahrul Nizam Wan Shafi'i berkata, kali terakhir skuad itu beraksi dalam saingan liga utama, Liga Sepak Takraw (STL) negara pada 2018 sebelum tergelincir ke divisyen dua setahun kemudian.

Jelasnya, kehadiran tekong berpengalaman, Muhammad Zulkifli Abd Razak atau 'Sobey' selain apit kiri, Mohd Muqlis Borhan menambah lagi kekuatan pasukan yang dibimbing Mohd Faisal Muhamad dan penolong dari Thailand, Vitaya Bontha.

"Alhamdulillah, Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pemain dan barisan kejurulatihan yang berjaya membawa pasukan beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan selepas lima tahun mencuba.

"Terima kasih juga kepada kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu, KETENGAH, Ketengah Holding Sdn Bhd yang banyak menyokong dan mendokong pasukan, begitu juga syarikat dan orang perseorangan.

"Bagi menghadapi saingan liga utama musim depan, kami mesti memandang positif dan perlu pastikan kekal dalam liga itu dengan misi mencabar kedudukan empat pasukan terbaik," ujar Wan Shahrul Nizam yang muncul pengurus terbaik Liga Divisyen 1.

Selain Zulkifli dan Muqlis, skuad itu juga turut diperkuat perejam dan tekong dari Thailand, Sutthikiart Pansaenkaew dan Kritsada Sungvung selain pemain tempatan, Muhammad Amar Roslan, Alif Mursyid Rusli, Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi dan Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 6:58 PM