ALCARAZ membalas pukulan Chardy pada perlawanan pusingan pertama Wimbledon. FOTO AFP
ALCARAZ membalas pukulan Chardy pada perlawanan pusingan pertama Wimbledon. FOTO AFP
AFP

London: Pemain lelaki nombor satu dunia, Carlos Alcaraz dan juara bertahan wanita, Elena Rybakina memulakan kempen Wimbledon dengan kemenangan, malam tadi, pada ketika hujan mencetuskan kekalutan bagi jadual kejohanan di All England Club itu.

Hanya satu jam saja permainan di gelanggang luar berlangsung, yang bermakna 69 daripada 77 perlawanan gagal ditamatkan.

Hanya lapan perlawanan dilangsungkan di gelanggang berbumbung di Court One dan Centre Court.

Alcaraz mudah menewaskan pemain veteran Perancis, Jeremy Chardy yang beraksi dalam kejohanan terakhir dalam kariernya, 6-0, 6-2, 7-5.

"Saya suka perlawanan sengit dan gembira bermain pada tahap hebat daripada kami pada set ketiga," kata pemain Sepanyol itu.

"Saya gembira dapat melepasi halangan di pusingan pertama."

Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu dilihat antara calon terbaik untuk mencabar Novak Djokovic, yang menyasarkan gelaran kelapan Wimbledon untuk menyamai rekod Roger Federer bagi perseorangan lelaki.

Selain itu, di Centre Court turut diadakan majlis penghargaan kepada Federer apabila legenda Switzerland itu kembali ke gelanggang yang menyaksikan sebahagian daripada detik kegemilangan dalam kariernya.

Penyokong memberi penghormatan dan tepukan sambil berdiri kepada Federer yang bersara pada September lalu, apabila dia memasuki petak diraja untuk menyaksikan perlawanan pertama bagi Elena.

Elena yang juga pilihan ketiga kejohanan, bermula dengan agak perlawanan apabila tewas set pertama sebelum bangkit untuk mengatasi pemain bukan pilihan AS, Shelby Rogers, 4-6, 6-1, 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 9:52 AM