DJOKOVIC (kanan) berswafoto dengan peminat sebelum memulakan cabaran di Wimbledon. FOTO REUTERS
DJOKOVIC (kanan) berswafoto dengan peminat sebelum memulakan cabaran di Wimbledon. FOTO REUTERS
AFP

London: Novak Djokovic akan turun gelanggang di Wimbledon, malam ini, untuk memburu gelaran kelapan kejohanan dan menyamai rekod gelaran ke-24 Grand Slam secara keseluruhan.

Pemain Serbia berusia 36 tahun itu yang memenangi empat gelaran terakhir di All England Club akan beraksi di Centre Court, iaitu gelanggang yang menyaksikan dia tidak tewas dalam 10 tahun.

Pemain di ranking ke-67 dunia, Pedro Cachin dari Argentina yang membuat penampilan sulung ke undian utama kejohanan akan menjadi pencabar kepada jaguh itu.

"Apabila memasuki Centre Court, saya jangka ia seperti mengejutkan saya dan saya yakin dapat bermain pada tahap tertinggi," kata Djokovic.

Djokovic yang menduduki ranking nombor dua dunia sudah memenangi Terbuka Australia dan Terbuka Perancis pada tahun ini.

Dia memenangi gelaran utama ke-23 di Paris dan kini ketinggalan satu gelaran di belakang Margaret Court yang mengungguli rekod sepanjang zaman dengan 24 gelaran.

Buat kali pertama sejak 1998, Wimbledon kali ini dilangsungkan tanpa kelibat juara lapan kali kejohanan, Roger Federer, yang sudah bersara serta Rafael Nadal yang dibelenggu kecederaan.

Sementara itu, pemain wanita nombor satu dunia, Iga Swiatek akan berdepan pemain China yang menduduki ranking ke-114 dunia, Zhu Lin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 8:26 AM