NUR Syaiful menerima jambangan bunga daripada Fatimah pada Majlis Meraikan Atlet Para APG 2023 di Kuching, hari ini.  FOTO Mohd Roji Kawi
NUR Syaiful menerima jambangan bunga daripada Fatimah pada Majlis Meraikan Atlet Para APG 2023 di Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, mensasarkan pencapaian terbaik pada Kejohanan Renang Para Dunia di Manchester, England mulai 31 Julai hingga 6 Ogos depan, untuk mengukuhkan keyakinannya bersaing pada Sukan Parlimpik Paris 2024.

Nur Syaiful yang memenangi tiga pingat emas temasya Sukan Para Asean (APG) 2023 di Phnom Penh, Kemboja awal bulan ini, optimis mampu meraih kejayaan menerusi acara kegemarannya 50 meter gaya bebas, 100 meter gaya bebas, 50 meter kuak dada dan 200 meter gaya bebas bagi kategori S5 (kecacatan fizikal).

Kejayaan memecahkan dua rekod APG 2023 menerusi acara 50 meter gaya bebas dan 100 meter gaya bebas, menguatkan lagi keyakinan perenang para berusia 23 tahun kelahiran Asajaya dalam Bahagian Samarahan itu.

"Esok saya akan berangkat ke Kuala Lumpur bagi mengikuti latihan intensif sebelum dijadual bertolak ke Manchester pada 26 Julai. Saya mahu kejohanan dunia itu mengukuhkan keyakinan saya untuk memburu pingat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 dan saya bertekad untuk bersungguh-sungguh untuk mencapainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Meraikan Atlet Para Sempena Temasya APG Ke-12 Kemboja, yang dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, di sini, hari ini.

Nur Syaiful antara 18 atlet para Sarawak yang memikul cabaran kontinjen Malaysia pada APG 2023.

Untuk rekod, Nur Syaiful antara empat perenang para negara yang sudah berjaya menempah tiket awal ke Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September tahun depan.

Tiga yang turut berjaya menempah slot ke acara sukan berprestij itu ialah Zy Kher Lee, Brenda Anellia Larry dan Imaan Aiman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 10:31 PM