NUR Syaiful akan bertanding di Kejohanan Para Renang Siri Dunia yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 Jun di Berlin. FOTO Bernama
NUR Syaiful akan bertanding di Kejohanan Para Renang Siri Dunia yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 Jun di Berlin. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkifli yang bakal membuat penampilan pertamanya di Sukan Paralimpik berazam membawa pulang pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dijadual berlangsung bermula Ogos depan.

Atlet berusia 25 tahun itu akan bertanding dalam kategori S5 (cacat anggota) acara 50 meter (m), 100m dan 200m gaya bebas dan 100m kuak dada, mensasarkan untuk membawa pulang sebutir pingat tanpa mengira warna di Tokyo.

"Dengan izin Allah, saya akan bawa pulang pingat untuk negara, tidak kisah warna apa. Itu sasaran di Tokyo. Memang agak gementar sedikit untuk beraksi di pentas dunia ini (buat kali pertama), tetapi InsyaAllah saya akan lakukan yang terbaik, tolong doakan saya," katanya kepada Bernama hari ini.

Sebagai persiapan ke temasya itu, Muhammad Nur Syaiful akan bertanding di Kejohanan Para Renang Siri Dunia yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 Jun di Berlin, Jerman.

Sementara itu, dia berkata cabaran menjalani latihan dalam norma baharu menyaksikan persediaan ke Berlin terganggu dengan jadual program sentiasa berubah-ubah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Persiapan saya sudah 80 peratus, ia lebih kepada jarak jauh untuk kekalkan ketahanan saya, di sana (Berlin) saya akan lihat prestasi semasa saya, ranking semasa, dan apa lagi yang perlu untuk diperbaiki, teknik atau kelajuan saya," jelasnya.

Muhammad Nur Syaiful mengesahkan tempat ke Paralimpik Tokyo selepas meraih pingat gangsa 50m gaya bebas (S5) pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di London.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:20 PM