MUHAMMAD Ammar Aiman Nor Azmi. FOTO NSTP
MUHAMMAD Ammar Aiman Nor Azmi. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Insentif Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (Shakam) Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 2022 menyuntik semangat atlet para olahraga negara, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi memburu tempat ke temasya Sukan Paralimpik Paris tahun depan.

Selepas mengukir nama di Sukan Para Asia Hangzhou dengan menyumbangkan pingat emas dalam acara 400m lelaki T20 dan mencatat rekod baharu temasya yang juga rekod Asia, Ammar kini ingin memburu kejayaan lebih gemilang.

Malah atlet itu turut mengakui bahawa skim Shakam yang diterimanya malam tadi menjadi pembakar semangatnya untuk terus mengharumkan nama negara selain menyasarkan untuk mengatasi rekod Paralimpik.

"Saya sangat gembira apabila menerima insentif Shakam yang sangat banyak. Ini yang paling tinggi pernah saya dapat.

"Ini menaikkan semangat saya untuk ke Paralimpik Paris dan saya nak dapatkan lebih banyak imbuhan," kata Ammar yang mempunyai masalah intelektual (T2).

Terdahulu kejayaan Ammar di Sukan Para Asia Hangzhou membolehkan dia membawa pulang wang tunai RM90,000 (pingat emas RM80,000, pecah rekod RM10,000).

Di Hangzhou, Ammar memenangi pingat emas dengan catatan 47.60s, sekali gus mengatasi rekod peribadinya 48.42s yang dilakukan di Sukan Para Asean Jun lalu.

Lebih manis, catatannya di Hangzhou mengatasi rekod kejohanan milik atlet negara, Nasharudin Mohd (49.32s) selain memecah rekod Asia milik atlet Iran, Ramzani, 47.80s.

Rekod 400m T20 Paralimpik kini dipegang Daniel Martins dari Brazil yang dilakukan di Olimpik Rio 2016, dengan catatan 47.22s.

Sementara itu, atlet para renang negara, Nur Syaiful Zulkafli menjadi penerima terbanyak Shakam hasil kejayaan meraih satu emas dan satu gangsa selain mencipta satu rekod temasya dalam acara SB4 100 meter (m) kuak dada.

Nur Syaiful membawa pulang RM110,000 selepas dia berjaya memenangi pingat emas acara 100m kuak dada SB4 yang membolehkan dia menerima RM80,000 selain gangsa 100m gaya bebas S5 (RM20,000) yang akan terus dikreditkan ke akaun atlet hari ini.

Dia juga menerima insentif tambahan sebanyak RM10,000 susulan kejayaannya memecahkan rekod temasya bagi acara kuak dada SB4.

Manakala pemain skuasy negara, S Sivasangari menjadi penerima terbanyak bagi temasya Sukan Asia Hangzhou iaitu RM100,000 hasil kejayaannya meraih dua emas dalam acara individu dan berpasukan.

Jumlah keseluruhan bayaran insentif Shakam dan Skim Galakan Kejurulatihan (SGAR) bagi temasya Sukan Asia adalah RM1,473,600 yang menyaksikan skuasy meraih jumlah terbanyak RM360,000.

Sementara itu bagi temasya para Asia jumlah keseluruhan bayaran intensif Shakam dan SGAR adalah RM 1,830,000 hasil kejayaan meraih 7 emas, 15 perak dan 17 gangsa.

Acara para olahraga menjadi penerima terbanyak Shakam dengan membawa pulang RM490,000.00.

Shakam Sukan Asia dan Para Asia disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut mengumumkan keseluruhan jumlah bagi kedua-dua skim berkenaan ialah RM2.8 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 5:04 PM