Aksi perenang paralimpik negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dalam acara 50m gaya bebas lelaki S5 di Pusat Akuatik Tokyo hari ini. FOTO Bernama
Aksi perenang paralimpik negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dalam acara 50m gaya bebas lelaki S5 di Pusat Akuatik Tokyo hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menamatkan kempen di Paralimpik Tokyo dengan meraih penamat kelima final acara S5 gaya bebas 50 meter (m), hari ini.

Dia mencatatkan masa 32.82 saat (s) dengan kedudukan tiga teratas di dominasi perenang China selepas Zheng Tao meraih emas dengan catatan 30.31s yang rekod temasya manakala Yuan Wei Yi dan Wang Li Chao meraih perak dan gangsa.

Pada saringan pertama di sebelah pagi, Nur Syaiful menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan catatan masa 33.46s.

Minggu lalu penyertaannya dalam acara S5 gaya bebas 200m dibatalkan berikutan kesalahan menampal pita pelekat di bahu akibat bisul.

Kemudian Ahad lalu dia yang turun dalam acara 100m kuak dada lelaki SB4 berdepan nasib yang sama cuma dibatalkan atas alasan berbeza.

Perenang kelahiran Sarawak itu dikatakan melakukan kesilapan apabila menyelam terlalu lama dan tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15m awal.

Dia berjaya mara ke peringkat akhir 100m gaya bebas S5 Khamis lalu selain turut merekodkan satu minit 15.12s untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik 1:15.39s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di London pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:03 PM