Nur Syaiful Zulkifli ketika memenangi pingat perak dalam acara 50 meter gaya bebas lelaki akhir S5 Sukan Para Asean baru-baru ini. FOTO NSTP.
Nur Syaiful Zulkifli ketika memenangi pingat perak dalam acara 50 meter gaya bebas lelaki akhir S5 Sukan Para Asean baru-baru ini. FOTO NSTP.
BERNAMA

WALAUPUN kali pertama bakal beraksi di pentas Sukan Paralimpik, perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkifli menjadi sandaran, untuk meraih pingat buat negara di Tokyo 2020.

Atlet berusia 24 tahun dari Sarawak itu mengesahkan tempat ke temasya Paralimpik Tokyo 2020 dalam kategori S5 acara 50m, 100m dan 200m gaya bebas.

Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Halimon Mohd Sood berkata, pihaknya meletakkan sasaran pingat dalam acara 100m gaya bebas (S5) ke atas Muhammad Nur Syaiful berdasarkan prestasi cemerlangnya di Kejohanan Siri Dunia WPS, Singapura, minggu lepas.

Beliau mencatatkan masa satu minit 16.27 saat yang sekali gus berjaya mencipta rekod baharu Asia dalam acara itu.

"Walaupun dia pertama kali akan ke Sukan Paralimpik, namun dengan catatan masanya itu, saya yakin dia boleh pergi jauh. Dalam acara renang, satu saat pun sudah cukup untuk menampakkan perbezaan.

"Jadi bagi merealisasikan harapan ini, saya akan kaji program lain untuk atlet yang layak ke Sukan Paralimpik nanti tetapi buat masa sekarang, mereka akan terus berlatih di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan," katanya.

Selain Muhammad Nur Syaiful, seorang lagi perenang para negara, Jamery Siga turut layak ke Tokyo dalam kategori S5 acara 50m, 100m dan 200m kuak kupu-kupu.

Halimon yakin kedua-dua atlet berkenaan mampu bersaing dengan atlet bertaraf dunia lain sekali gus merebut pingat yang ditawarkan.

Beliau berkata atlet negara mempunyai masa lebih setahun untuk membuat persediaan rapi, sebelum memulakan aksi di Sukan Paralimpik yang akan membuka tirai pada September tahun hadapan.

Dalam masa sama, kedua-dua perenang itu dan Brenda Annellia Larry turut layak ke Kejohanan Renang Para Dunia di London, September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 7:07 PM