TENGKU Zaihan Che Ku Abd Rahman (dua kiri) harap PSM tidak dibubarkan. FOTO GHAZALI KORI
TENGKU Zaihan Che Ku Abd Rahman (dua kiri) harap PSM tidak dibubarkan. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menanti dengan penuh sabar keputusan yang bakal diumumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung notis balas kepada badan itu.

Minggu lalu, PSM sudah membalas notis cadangan pembatalan persatuan itu daripada PJS yang secara tidak langsung mengundang situasi 'panas' dalam kalangan penggiat sukan itu kerana PSM adalah pelopor sukan ini sejak 62 tahun lalu.

Naib Presiden PSM, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, menjelaskan barisan kepimpinan PSM menanti dengan penuh teliti keputusan yang bakal diumumkan PJS berhubung notis balas berkenaan.

Bagaimanapun beliau yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) menegaskan barisan kepimpinan dan ahli gabungan PSM meletakkan harapan yang tinggi agar persatuan yang ditubuhkan bermula 1960 itu tidak 'dikorbankan'.

"Ini mesej yang jelas daripada kami ahli gabungan PSM yang bukan sahaja mahu persatuan ini dikekalkan, malah perlu diperkasakan lagi kerana entiti ini adalah pelopor dalam sukan ini sejak 62 tahun lalu.

"Lagipun ahli gabungan kami ramai iaitu membabitkan 11 ahli daripada negeri dan lima ahli bersekutu, jadi kami diterima sebulat suara oleh penggiat sukan ini berbanding Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) hanya enam ahli gabungan dan mereka pula masih baharu.

"Satu lagi bukti kukuh PSM adalah satu-satunya badan pengelola kebangsaan bagi sukan sepak takraw di Malaysia yang diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selain tidak pernah melanggar mana-mana peraturan yang dibuat bawah akta 576.

"Jadi tiada sebab PSM patut dibubarkan sebaliknya perlu diangkat dan dimartabatkan lagi di persada antarabangsa, inilah harapan kami barisan PSM," katanya ketika ditemui.

Pada 15 September lalu, PSM mendapat notis daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) yang memberikan tempoh selama 14 hari untuk mengemukakan rayuan berhubung cadangan pembatalan PSM.

Bagaimanapun PSM tidak menunggu lama untuk menjawab dan memberikan alasan kukuh mengenai ketidakwajaran PSM dibubarkan.

"PSM sentiasa terbuka dan sedia bekerjasama dengan Mastaf demi sukan sepak takraw negara, jadi kami harap campur tangan Menteri Belia dan Sukan dapat mengharmonikan kedaaan dengan berdiri atas satu nama sahaja iaitu PSM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 3:36 PM