DATUK Karim Ibrahim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Karim Ibrahim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim memohon Majlis Sukan Negara (MSN) membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam menentukan syarat penyertaan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung daripada 16 hingga 24 September ini.

Desas-desus berhubung pengguguran acara di temasya berkenaan menimbul rasa tidak senang dikalangan jurulatih negara dengan Karim selaku Presiden POP mengharapkan jawatankuasa tertinggi Sukma bersama MSN yang akan bermesyuarat pada 20 Ogos ini membuat keputusan yang terbaik demi sukan olahraga negara.

Karim berkata, sekiranya MSN terus kekal dengan syarat penyertaan iaitu perlu ada sekurang-kurangnya enam penyertaan bagi setiap acara, maka ramai atlet kecewa terutama selepas menunggu selama empat tahun untuk menyertai Sukma kali ini.

"Umur bukan makin berkurangan. Inilah peluang yang mereka ada untuk menyertai Sukma selepas tertangguh beberapa kali.

"Malah inilah juga bakat negara yang kita ada untuk masa depan. Mereka ini yang akan kita pertaruhkan untuk Sukan Sea 2027 nanti. Pembatalan acara bakal membuatkan ramai kecewa dan merugikan pembangunan sukan olahraga negara.

"Jadi saya merayu sebelum sebarang keputusan dibuat pertimbangkan keputusan itu sebaik yang mungkin.

"Perlu diingat juga kebanyakan atlet dalam sukan olahraga ini bukan datangnya daripada keluarga yang kaya. Ada segelintir mereka datang dari keluarga miskin dan banyak perbelanjaan dikeluarkan demi memenuhi impian untuk bergelar atlet negara terutama selepas empat tahun menunggu," katanya.

Karim berkata, Sukma adalah medan terbaik untuk mencungkil bakat dari peringkat akar umbi dan bukan satu tugas yang mudah untuk menghasilkan lebih banyak bakat seperti Muhammad Azeem Fahmi.

Terdahulu timbul dakwaan mengatakan MSN yang dipertanggungjawabkan menganjurkan Sukma menggugurkan enam acara olahraga membabitkan kategori wanita iaitu 10,000 meter (m) jalan kaki, lompat bergalah, baling tukul besi, lempar cakera, lontar peluru dan lompat kijang.

Bagaimanapun MSN tampil memaklumkan bahawa perkara itu masih dalam pertimbangan dengan keputusan akan dibuat selepas mereka mengadakan perbincangan bersama bersama semua Pengarah Majlis Sukan Negeri-Negeri bagi mencari penyelesaian terbaik yang dijadualkan berlangsung 20 Ogos ini.

Nor Sarah Adi dalam acara lompat bergalah dan Grace Wong baling tukul besi yang memenangi emas ketika Sukan Sea Hanoi Mei lalu antara bakat yang dicungkil daripada penganjuran Sukma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 12:56 PM