GANDINGAN perenang negara menunjukkan pingat perak dimenangi dalam acara 4x200 meter gaya bebas berganti-ganti lelaki di My Dinh Water Sports Stadium, Hanoi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
GANDINGAN perenang negara menunjukkan pingat perak dimenangi dalam acara 4x200 meter gaya bebas berganti-ganti lelaki di My Dinh Water Sports Stadium, Hanoi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Skuad renang negara memecahkan rekod kebangsaan untuk memenangi pingat perak acara 4x200 meter gaya bebas berganti-ganti lelaki di Sukan Sea Hanoi, hari ini.

Gandingan Welson Sim, Lim Yin Chuen, Arvin Shaun Singh dan Khiew Hoe Yean menewaskan Singapura dengan catatan tujuh minit dan 19.750 saat.

Rekod kebangsaan sebelum ini, 7:26.74s dicipta Welson, Lim Ching Hwang, Kevin Yeap dan Vernon Lee ketika Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Perenang Vietnam (Nguyen Huu Kim Son, Nguyen Huy Hoang, Hoang Quy Phuoc, Tran Hung Nguyen) memenangi emas dengan rekod baru Sukan Sea of 7:16.31s (rekod lama dicipta Singapura dengan catatan 7:17.88s di Filipina 2019).

Juara bertahan, Singapura yang membariskan Jonathan Tan, Glen Lim, Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen memenangi gangsa dengan catatan 7:21.49s.

Welson berkata, kuartet itu turun dengan tiada apa yang perlu dirisaukan apabila berdepan lawan yang menjadi pilihan.

Menurutnya, mereka baru kali pertama digandingkan di Sukan Sea Hanoi dan mereka memiliki keserasian serta persefahaman.

"Kami sedar mampu memecahkan rekod kebangsaan jika semuanya berjalan lancar dan saya fikir, kami beraksi dengan baik hari ini.

"Di akhirnya, ia tetap bergantung kepada kekuatan mental. Di persaingan peringkat tinggi seperti ini, apa saja boleh berlaku dan anda boleh kecundang di tengah perlumbaan jika tunduk kepada tekanan.

"Memang menarik dapat menewaskan musuh ketat dalam renang. Dalam beberapa edisi Sukan Sea sebelum ini, kami tidak mampu menyaingi Singapura, tetapi kali ini kami memberikan saingan sengit termasuk kepada Vietnam.

"Bagi kami, tiada apa yang dimalukan, sebaliknya tekanan lebih memihak kepada mereka," kata Welson.

Sementara itu, Job Tan mencipta kejutan memenangi gangsa dalam acara 200m kuak lentang lelaki dengan catatan 2:17.68s di final.

Perenang Singapura, s Maximillian Ang memenangi emas dengan catatan 2:11.93s manakala perenang Vietnam, Bao Pham Thanh memenangi perak dengan 2:12.09s.

Welson dan Hoe Yean akan berentap dalam acara 200m gaya bebas lelaki, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 10:17 PM