Fadhli Ishak


PERENANG negara, Welson Sim (gambar) beraksi cemerlang apabila memperbaharui dua rekod kebangsaan pada Piala Dunia Renang FINA di Beijing yang berakhir hari ini.

Welson memecahkan rekod kebangsaan acara 400 meter gaya bebas selepas mencatat tiga minit 48.93 saat untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan keseluruhan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional di Beijing bagi membaiki rekod 3:50.87s yang dicatat Daniel Bego pada Piala Dunia Singapura 2013.

Pada saingan semalam, Welson turut memecah rekod kebangsaan 200m gaya bebas milik Daniel (Piala Dunia Singapura 2013) 1:49.21s, apabila merekodkan 1:48.25s untuk berada di kedudukan 17 keseluruhan.

“Rasa gembira apabila saya dapat menambah rekod kebangsaan dalam renang jarak pendek ini ke dalam pencapaian rekod (jarak jauh) saya sebelum ini,” kata perenang dari Sarawak yang memenangi dua emas pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ogos lalu.

“Banyak yang saya pelajari apabila dapat bersaing di sini kerana rentak renangan adalah berbeza daripada apa yang saya biasa sebelum ini (jarak jauh).”

Sementara itu, perenang negara – Keith Lim, Tern Jian Han dan Chan Jie turut menampilkan persembahan mengagumkan.

Keith merekodkan 22.55s (ke-21) dalam acara 50m gaya bebas untuk membaiki rekod kebangsaan 23.15s yang dilakukan oleh Lim Ching Hwang juga pada Piala Dunia 2013 Singapura.

Jian Han mencatatkan 53.70s (ke-14) dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki, menyaksikan dia menghampiri rekod kebangsaan, Tan Gin Yu (57.49s) sementara Chan Jie merekodkan 54.43s (ke-16) dalam acara yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 7:45 PM