CLEMENT mempamerkan aksinya. FOTO Eizairi Shamsudin
CLEMENT mempamerkan aksinya. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Atlet wushu negara, Clement Ting mencipta kejutan apabila muncul juara acara changquan lelaki di temasya Sukan Sea Hanoi hari ini.

Clement dilihat tenang ketika memperagakan aksinya untuk mencatat 9.70 mata di Gimnasium Cau Giay, Hanoi. Jowen Lim dari Singapura yang memenangi acara itu pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 juga mencatatkan 9.70 mata namun terpaksa berpuas hati dengan perak susulan mempamerkan aksi pada tahap kesukaran lebih rendah.

Seraf Naro dari Indonesia yang juga juara dunia duilian 2019 meraih tempat ketiga selepas mencatat 9.69 mata. Manakala Yeap Wai Kin dari Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat dengan 9.68 mata.

Clement nyata gembira selepas berjaya meraih emas pertama Malaysia bagi sukan itu di Hanoi. "Saya sangat terkejut dapat memenanginya kerana saya tidak memikirkan tentang emas hari ini." kata Clement.

"Ini baru kali pertama saya ke Sukan Sea dan matlamat hanya untuk fokus pada acara sendiri dan hanya melakukan yang terbaik mengikut kemampuan. Saya beraksi sama seperti dalam latihan dan dapat melaksanakannya tanpa sebarang kesilapan.

"Saya sangat gembira memenangi pingat emas ini. Ini sesuatu yang saya inginkan untuk menang sejak sekian lama".

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 3:41 PM