AKSI Clement ketika memenangi pingat emas di Sukan Sea Hanoi, tahun lalu. FOTO ARKIB NSTP
AKSI Clement ketika memenangi pingat emas di Sukan Sea Hanoi, tahun lalu. FOTO ARKIB NSTP
Fabian Peter


Hangzhou: Bekas pemenang pingat emas Sukan Sea, Clement Ting mengakui masih dalam proses pembelajaran bagi menjadi atlet wushu terbaik dunia.

Terdahulu, atlet berusia 25 tahun dari Sarawak itu terpaksa akur apabila menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara gabungan daoshu-gunshu lelaki di Sukan Asia Hangzhou, hari ini.

Clement meraih 19.436 mata untuk berada di belakang atlet Taiwan, Wang Chen Ming yang berada di tempat keempat dengan 19.452 mata.

China terus mendominasi apabila memenangi pingat emas menerusi Chang Zhizhao yang mengutip 19.452 mata.

Atlet Singapura, Jowen Lim yang mengumpul 19.476 mata meraih perak diikuti Naro Seraf Siregar dari Indonesia (19.466 mata) gangsa.

Clement yang memenangi emas di Sukan Sea Hanoi, tahun lalu, berkata dia berpuas hati dengan persembahannya itu.

"Markah yang diperoleh adalah di luar kawalan, tetapi saya melaksanakan tugas saya.

"Saya sangat teruja dan gembira dapat berada di sini," katanya.

Mengulas mengenai penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia, Clement berterima kasih kepada atlet senior dalam pasukan negara yang membimbing dan memberi sokongan kepada dirinya.

"Ini adalah kali pertama saya beraksi di Sukan Asia tetapi rakan sepasukan yang lain mempunyai banyak pengalaman.

"Saya belajar daripada mereka dan gembira dapat melakukannya," kata Clement.

Sementara itu, pada aksi final acara gabungan jianshu-qianshu wanita, atlet negara, Pang Pui Yee menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 19.276 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 6:43 PM