ZHI Yan bersama pingat emasnya.  FOTO Eizairi Shamsudin
ZHI Yan bersama pingat emasnya. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Pingat emas dimenangi atlet wushu negara, Tan Zhi Yan pada temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam bukan saja membanggakan Malaysia, namun turut mempunyai seribu satu kenangan terindah buat kem sukan terbabit.

Hal ini kerana, kejayaan Zhi Yan itu sebenarnya mengulangi pencapaian jurulatihnya Loh Choon How pada edisi terdahulu.

Choon How yang dikenali sebagai 'otai' dalam sukan berkenaan berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam acara taijiquan dan taijijian pada Sukan Sea Manila 2019.

Kejayaan itu sekali gus menyebabkan Choon How mengambil keputusan bersara sebelum beralih kerjaya sebagai jurulatih untuk pasukan wushu negara.

Zhi Yan yang mempamerkan aksi memukau dan muncul juara dalam final taijiquan lelaki dengan mata 9.71 di Gimnasium Cau Giay di Hanoi ternyata berpuas hati berjaya meneruskan kejayaan merangkul pingat emas seperti dicapai jurulatihnya itu.

"Saya sangat terkejut memenanginya kerana ini adalah Sukan Sea pertama saya. Sudah tentu sangat gembira untuk memenangi emas seperti dicapai jurulatih saya dua tahun lalu.

"Saya agak gementar hari ini tetapi saya cuba sedaya upaya untuk mengawalnya. Jurulatih mengingatkan supaya sentiasa fokus dan melakukan rutin dengan baik. Secara keseluruhan, saya beraksi dengan baik dan cukup gembira dapat melakukannya tanpa sebarang masalah," katanya.

Kontinjen negara bermula dengan cemerlang hari ini apabila Zhi Yan mengesahkan pingat emas kedua Malaysia dalam sukan itu. Atlet Filipina, Jones Llabres meraih perak dengan 9.70 mata sementara atlet Singapura, Chan Jun Kai membawa pulang gangsa dengan 9.57 mata.

Terdahulu, Malaysia meraih emas dalam acara changquan lelaki menerusi Clement Ting sementara Calvin Lee memenangi perak dalam acara nandao lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 4:07 PM